
Mahkamah Tinggi
Shah Alam hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000
terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya
Rosli Busro yang didapati bersalah atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan
palsu melibatkan RM80,000 empat tahun lepas.
Hakim Datuk Akhtar Tahir
membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan
dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh
Azman Teh pada 1 Mac lepas.
Akhtar turut menolak permohonan Abdul
Rahman dan Rosli untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sebaliknya memerintahkan
mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Dalam
penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman menghadapi lapan pertuduhan membuat
tuntutan palsu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar sementara Rosli didakwa
bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan itu.
Beliau berkata
peguam perayu berhujah bahawa keterangan dua saksi terpenting dalam kes itu
iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan Rizam Ismail tidak sepatutnya diterima oleh
mahkamah atas alasan kedua-dua mereka merupakan rakan sejenayah.
"Saya
telah baca keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap bahawa mereka
rakan sejenayah. Mereka lebih merupakan pak turut atau menurut apa-apa yang
diminta oleh tertuduh pertama (Abdul Rahman) dan tertuduh kedua
(Rosli).
Kalaupun kedua-dua saksi ini dikatakan sebagai rakan sejenayah
tetapi keterangan mereka telah disokong oleh keterangan saksi bebas lain.
"Justeru saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan
apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada keterangan
mereka bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk membuat tuntutan
palsu," katanya.
Akhtar berkata perkara itu terbukti apabila wang
yang diterima bukan digunakan untuk program atau aktiviti seperti dalam tuntutan
tetapi lebih kepada untuk kegunaan sendiri.
"Peguam tertuduh juga
berhujah bahawa tuntutan berkenaan bukan palsu kerana program berikut telah
diadakan tetapi bukan di tempat yang dinyatakan seperti dalam tuntutan itu.
Bagaimanapun saya lebih cenderung menyatakan ia adalah tuntutan palsu.
"Dalam rayuan ini saya puas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat
sebarang kesilapan bila mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas semua tuduhan
dan hukuman juga adalah setimpal dengan kesalahan serta jawatan kedua-dua
tertuduh. Justeru rayuan terhadap sabitan serta hukuman ditolak dan hukuman
dikekalkan," katanya.
Abdul Rahman dan Rosli diwakili peguam Datuk
Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Mohd Bukhari sementara Ketua
Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak
Musa dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak
responden.
Abdul Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan
palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti
yang tidak pernah dijalankan.
Tuntutan itu membabitkan pembelian
hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan
Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di
Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim
BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari
Keluarga Guru Kemas.
Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000
setiap satu.
Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat
Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.
Bagi setiap
pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997
dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara
maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau
RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rosli, 44,
pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan
itu.
- Bernama