CHE DET KENE SMASH DENGAN FAEKAH

Setiausaha politik Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membidas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana rekod yang buruk dalam membela hak orang Melayu dan Bumiputera.

Faekah Husin mempertahankan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) ekoran kecaman Dr Mahathir yang mengatakan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam akan terancam jika pembangkang mengekalkan kuasa di Selangor dalam Pilihan Raya 2013.

“Dr Mahathir masih menyanyi lagu lama; lagu perkauman dan menakut-nakutkan orang Melayu serta mahu menyegarkan pertembungan kaum setelah bibit-bibit kebencian terhadap kaum dan penganut agama lain beliau tanam di kalangan rakyat di sepanjang 22 tahun pemerintahannya,” tulis beliau dalam sepucuk surat terbuka kepada Dr Mahathir bertarikh hari ini.

Faekah menekankan terhadap salahguna kuasa semasa memerintah kerajaan negeri Selangor, berkata parti yang dahulunya dipimpin Dr Mahathir memiliki beratus ekar tanah di dalam negeri serta mendakwa mereka hanya membayar premium minimum RM100 bagi setiap ekar.

Beliau berkata kebanyakan tanah ini dijual untuk tujuan pulangan lumayan kepada firma pemaju swasta, sekaligus membuktikan ini adalah sikap hipokrasi Umno tetapi dalam masa sama berkata beliau tidak mempersoalkan pemilikan tanah bukan Bumiputera.

“Kita juga mendapati ketika pemerintahan Umno di Selangor, ribuan ekar Tanah Rezab Melayu yang terletak di bandar telah ditarik keluar dan dijadikan milikan bebas,” kata beliau yang juga mendakwa banyak bahagian Tanah Rezab Melayu telah dipindahkan ke kawasan pendalaman seperti Panchang Bedena, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Faekah juga membangkitkan kejayaan pentadbiran PR dalam mengutip RM390 juta hutang daripada Talam Corporation dan memulangkan kepada masyarakat miskin di Selangor yang mana kebanyakannya adalah Melayu.

“Mengapa Mahathir senyap sunyi apabila kita dedahkan Talam berhutang RM392 juta kepada rakyat Selangor hampir sedekad lamanya dan gagal dituntut oleh Umno? Tahu atau tidak Dr Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang mempunyai kekuatan politik untuk mengutip hutang-hutang tersebut?” soal beliau.

Faekah juga mempertahankan pentadbiran PR di Selangor dengan berkata kerajaan negeri tidak mencampuri hal ehwal agama Islam, serta menegaskan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak diganggu.

Beliau juga menyenaraikan usaha Selangor dalam memelihara kepentingan masyarakat Muslim dengan berkata JAIS menerima dana tahunan berjumlah kira-kira RM130 juta, peruntukkan tertinggi dalam belanjawan negeri yang terkaya di Malaysia.

Beliau turut menambah kerajaan kerajaan negeri Selangor daripada 2008 hingga 2012 telah membelanjakan sejumlah RM405 juta untuk membina masjid dan sekolah agama dan RM46 juta untuk tujuan sama, sebelum menegaskan bahawa elaun Kelas Fardhu Ain (KAFA) kepada guru sekolah telah dipinda daripada RM400 semasa pemerintahan Dr Mahathir kepada RM1300.

Faekah mendakwa semasa pentadbiran Dr Mahathir berlaku banyak ancaman untuk memansuhkan sekolah agama dan menuduh bekas presiden Umno telah mengeluarkan banyak kenyataan menghina, termasuk dengan mengatakan orang Melayu malas belajar kerana letih selepas pergi ke kelas agama pada tengahari.

Masyarakat Melayu - kumpulan pengundi terbesar di Selangor dan Malaysia - yang juga beragama Islam, kedua-dua Umno (BN) dan PAS (PR) dilihat berusaha bersungguh-sungguh untuk memancing undi mereka menjelang Pilihan Raya 2013.

Ahad lepas, Dr Mahathir berkata Selangor perlu diselamatkan daripada PR dengan menegaskan Melayu dan Bumiputera dalam negeri tersebut mendapat faedah lebih baik semasa BN memegang tampuk kuasa.

“Sekiranya pembangkang menang dan tadbir Selangor percayalah kedudukan orang Melayu dan bumiputera akan diketepikan. Sebab itu kita harus bertindak segera untuk yakinkan rakyat di Selangor supaya jatuhkan kerajaan pembangkang dan gantikannya dengan kerajaan BN yang dipimpin oleh Umno.

“Akan sia-sialah pengorbanan kita kalau Selangor tidak diselamatkan,” katanya ketika penutup konvoi ‘Selamatkan Selangor’ anjuran Perkasa Selangor di sini hari ini.

Dr Mahathir juga berkata kelemahan dua parti Melayu dalam pembangkang mengakibatkan kaum lain tidak menghormati mereka dan berhadapan risiko dengan kehilangan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera jika membiarkannya terus berlalu.

“Kita juga ingin tegaskan bahawa bahasa Melayu dan agama Islam ialah bahasa dan agama rasmi negara kita jadi mereka harus hormati hak kita sepertimana kita hormati hak mereka.

“Tetapi disebabkan kepimpinan Melayu dalam pakatan (pembangkang) amat lemah mereka sering ikut sahaja rakan mereka termasuk bila desak kalimah Allah boleh digunakan (dalam Bible) maka (Presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi Awang pun tandatangan beri hak itu kepada mereka.

“Bila mereka cadang nak lucut hak istimewa orang Melayu, pembangkang yang kononnya dianggotai dua parti pimpinan Melayu sanggup ikut apa sahaja yang dituntut. Kalau kita tak berjaga-jaga kita akan hilang sama sekali hak kita di bumi kita sendiri dan segala usaha untuk bangunkan orang Melayu dan bumiputera akan dihapuskan oleh mereka (pembangkang),” katanya lagi.

Ulasan

Catatan Popular