DBKL ada hak dakwa pelajar bercium: Mahkamah

.... kenapa isu khalwat di Kelantan diperbesar-besarkan oleh UMNO dan MCA?????
 
DBKL ada hak dakwa pelajar bercium: Mahkamah 
 

PUTRAJAYA: Kerajaan tempatan mempunyai kuasa untuk mewujudkan undang-undang kecil untuk mendakwa warganegara yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini (Selasa).

Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama-sama Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sheriff dan Datuk Richard Malanjum sebulat suara memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) adalah betul untuk mendakwa dua pelajar kerana berkelakuan tidak sopan iaitu berpeluk dan bercium di Taman City Centre Kuala Lumpur.

Korum itu memutuskan Seksyen 8 (1) Undang-undang Kecil Taman, seksyen yang dirujuk oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) untuk menghukum sesiapa yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam adalah mengikut Perlembagaan.

Berikutan keputusan itu, dua pelajar itu, Ooi Kean Thong, 24, dan Siow Ai Wei, 22, perlu membela diri terhadap pertuduhan itu yang didakwa terhadap mereka di Mahkamah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur pada 2004.

Kes mereka ditetapkan untuk sebutan semula di mahkamah itu pada 1 Jun. Kedua-dua pelajar itu mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di taman itu pada 5.20 petang, 2 Ogos 2003.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Ahmad Fairuz berkata jawapan mahkamah (Persekutuan) kepada soalan Perlembagaan yang dirujuk kepada mereka, sama ada Seksyen 8 (1) adalah ultra vires kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan (berkaitan kebebasan hidup) adalah negatif.

Kedua-dua pelajar itu mencabar kesahan Seksyen 8 (1) yang menyatakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang merupakan akta induk bagi pihak berkuasa tidak memberikan kuasa kepada Datuk Bandar untuk menggubal undang-undang kecil berhubung perkara mengenai kesopanan.

Mereka mendakwa mereka disaman kerana mereka enggan merasuah pegawai penguatkuasa. Pada Januari tahun lepas, dua pegawai berkenaan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen dan kes mereka sedang menunggu perbicaraan.

Peguam bela S. Selvam yang mewakili kedua-dua pelajar berkenaan, hari ini berhujah bahawa Datuk Bandar telah gagal mengambil kira hakikat bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan bahawa perbuatan berpeluk dan bercium merupakan cara untuk melahirkan perasaan kasih sayang yang sepatutnya digalakkan.

"Pelajar berkenaan sepatutnya diberikan kebebasan untuk menjalani kehidupan mereka tetapi berlaku pencerobohan serius oleh Datuk Bandar terhadap hak kebebasan dan hak Perlembagaan kedua-dua pelajar itu," katanya.

Ahmad Fairuz berkata: "Jadi, mereka patut diberikan kebebasan untuk menjalani kehidupan sesuka hati mereka? Perlembagaan membenarkan semua warganegara berbuat begitu (berpeluk dan bercium) malahan di tepi jalan, di taman awam?

"Di England, perbuatan seperti itu diterima penduduk di negara itu tetapi adakah perbuatan berpeluk dan bercium boleh diterima penduduk Malaysia? Adakah perbuatan seumpama itu mengikut akhlak orang Asia?"

Selvam menjawab bahawa tiada salahnya perbuatan berpeluk dan bercium kerana perbuatan itu bagi melahirkan rasa kasih mereka. Beliau berkata Datuk Bandar telah mewujudkan undang-undang yang memudaratkan dan menimbulkan masalah kepada kedua-dua pelajar itu dan ia tidak adil.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berhujah bahawa perkara itu patut diserahkan kepada hakim yang mengendalikan kes itu untuk memutuskan sama ada perbuatan berpeluk dan bercium adalah perbuatan yang tidak sopan.

Beliau berkata tidak perlu mempunyai perkataan yang spesifik dalam usaha untuk menggubal undang-undang kecil bagi tujuan spesifik. BERNAMA

Ulasan

Catatan Popular