TANGGUH AES SEBAB MP BN TAKUT KALAH PRU-13

Rata-Rata anggota Parlimen bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan.
  
Malahan mereka berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan, lapor Bernama.
  
Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.

"Apa yang berlaku sekarang, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya bahawa pemasangan AES bukan sahaja diletakkan di tempat yang tidak sesuai, malah ia turut mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya," katanya kepada Bernama di bangunan Parlimen hari ini.
  
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES yang didapati terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya dan perlu diatasi, antaranya, lokasi serta halaju praktikal sesebuah kawasan.
    
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan sistem tersebut dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.
  
Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pula berkata penangguhan AES itu perlu supaya kerajaan, khususnya pihak Kementerian Pengangkutan, dapat memberi penjelasan sepenuhnya kepada rakyat berhubung kepentingan melaksanakan sistem baru tersebut.
  

Ulasan

Catatan Popular