KENYATAAN MEDIA : ISU PENUBUHAN KELAB PENYOKONG UMNO DI KAMPUS

                                                            KENYATAAN MEDIA 
                                                      TIMBALAN KETUA PEMUDA 
                                 DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN WANGSA MAJU 
                       ISU PENUBUHAN KELAB PENYOKONG UMNO DI KAMPUS 
                                            10 Syawal 1433 bersamaan 28 Ogos 2012

            Merujuk kepada kenyataan Sdr YB Khairy Jamaluddin di mana Pemuda UMNO akan menubuhkan Kelab UMNO atau penyokong UMNO di kampus IPT pada 26 Ogos di Rembau Negeri Sembilan. 

            DPPWM menyambut baik usaha ini selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 2012 baru-baru ini, yang kini membenarkan mahasiswa untuk telibat dan memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik. Difahamkan dalam pindaan tersebut, pemimpin parti politik dari kedua kubu kerajaan dan pembangkang dibolehkan untuk hadir ke universiti-universiti dalam program mahasiswa dan mahasiswa yang ingin berkecimpung dalam politik juga diperbolehkan atas kebenaran Naib Canselor .

            Sebagaimana mudah dan tanpa karenah serta sekatan keatas UMNO dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional , kami juga bertegas agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memberi ruang dan peluang yang sama kepada parti – parti lain dalam Pakatan Rakyat untuk masuk ke kawasan kampus secara terbuka. Sikap pilih kasih dan memilih bulu dengan hanya membenarkan UMNO mendominasi keadaan akan menyebabkan hilangnya rasa hormat kepada pihak kementerian sendiri. Jangan hanya membenarkan apa yang dilakukan oleh UMNO tetapi perkara yang sama dihalang kalau dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

             Kami juga mengakui bahawa Naib Canselor terdiri dari orang-orang akademik yang bijaksana dan adil dalam membuat keputusan tetapi sejarah pernah dihidangkan dengan karenah beberapa orang Naib Canselor IPTA yang bertindak seakan-akan ketua bahagian UMNO bila mendepani isu- isu politik di kampus. Mahasiswa adalah golongan terpelajar dan intelek. Harapnya selepas ini tiada lagi kenyataan tentang memperbodohkan mahasiswa dengan memberi sepenuh bantuan dan kerjasama kepada golongan Aspirasi dan mengadakan perbagai halangan dan sekatan kepada golongan pro mahasiswa.

            Jangan tumpulkan daya intelek mahasiswa dengan hanya membenarkan mereka melihat isu dari kaca mata politik,pemerintah semata- mata. Idealisme murni seorang mahasiswa untuk menghasilkan pemikiran jujur dan ikhlas tidak harus disekat dengan permainan politik sempit oleh UMNO dan Barisan Nasional.

             Segeralah wujudkan ruang yang luas dan segar untuk mahasiswa melaksanakan pelbagai aktiviti dan gerak kerja berasaskan kepada tuntutan ilmu dan kebebasan akademik.

             Semoga padang yang dibuka akan sama rata .

Mahadzir Abdul Rani 
Timbalan Ketua, 
Dewan Pemuda PAS kawasan Wangsa Maju

Ulasan

  1. Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin buat rakan seperjuangan sekeluarga.

    Ucapan yang sama juga kepada semua pengunjung di sini.

    suasanapolitikmalaysia.blogspot.com

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular