ANTARA AGAMAWAN, SENIMAN DAN ANAK MUDA

WANGSA MELAWATI : Pemuda PAS Malaysia telah membuktikan bahawa usaha dakwah di kalangan penggiat-penggiat seni tanah air dan juga anak-anak muda akan diteruskan. Komitmen ini ditonjolkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan mengadakan program-program anak muda dan juga usrah bersama para artis.

Satu adunan yang baru telah diperkenalkan oleh program anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung [GAMIS] dan juga Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir [ILMAM] untuk mendekati para artis dengan menyediakan platform soal jawab santai berkaitan agama.

“Kita tidak pernah menafikan sumbangan dari penggiat seni bahkan terkadangnya mereka menterjemahkan pendidikan kepada masyarakat dalam satu medium yang lebih mudah diterima oleh masyarakat. Sebab itu kita mahu mendekati mereka dan memberikan khidmat nasihat di samping merapatkan jurang di antara agamawan dan juga para artis ini”, ulas Ustaz Syed Abdul Kadir yang merupakan naqib bagi Usrah MUSIKA dan juga personaliti TV9 dan al-Hijrah.

Majlis berbuka puasa MUSIKA kali ini turut dihadiri hampir 20 orang artis dan lebih 10 tokoh yang terkenal. Antaranya tokoh politik yang hadir YB Salehudin Ayub, YB Ustazah Siti Zailah, Ustaz Tuan Ibrahim, Ustaz Nasrudin, Ustaz Nik Abduh dan Saudara Khairul Faizi. Majlis turut dimeriahkan dengan tokoh agamawan seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Syed Nur Hisyam.

Sambutan daripada artis juga sangat menggalakkan. Antara yang memberikan komitmen adalah artis-artis dari kumpulan nasyid, Abby Abadi, Bob Lokman, Leman [Raja Lawak], Farah Asyikin, Noryn Aziz dan ramai lagi.
Maklum balas daripada artis juga sangat positif kerana mereka merasakan program seperti ini dapat membantu mereka mengenali tokoh-tokoh agama sekaligus mendapat input daripada mereka.

“Matlamat kita dalam MUSIKA adalah untuk menyediakan satu ruang kepada para artis untuk lebih mengenali Islam. Sebenarnya mereka juga ingin mendalami agama mereka dan mereka mahu mendekati ustaz-ustaz atau ustazah-ustazah. Jadi kita memikirkan apakah platform terbaik yang mampu kita sediakan untuk mereka ini dalam usaha dakwah Islam yang cuba kita sampaikan”, ulas beliau yang juga pengarah bagi Usrah MUSIKA.

Menurut beliau juga, usrah MUSIKA ini juga akan diadakan pada setiap bulan. Para artis adalah dijemput untuk saling bertukar pandangan, maklumat dan ilmu.

Beliau juga berharap yang terbaik dari program ini.

“Kita mengharapkan perkara yang baik seperti ini dapat diteruskan setiap bulan dengan konsisten. Mudah-mudahan ianya akan menatijahkan sesuatu yang mahmudah dan merevolusikan dunia hiburan ke arah yang lebih baik dan islamik”.

Ulasan

Catatan Popular