SEBELUM BANYAK LAGI PENIPUAN DIDEDAHKAN... SPR LAPOR POLIS


Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini membuat laporan polis terhadap Zulkifli Ismail yang mendakwa telah mengundi dua kali pada pilihan raya umum (PRU) tahun 1980an di dua pusat pengundian.
Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria yang membuat laporan itu berkata Zukifli turut mendakwa dan menuduh dalam, akhbar PAS, Harakah, bahawa suruhanjaya itu menipu apabila satu nama boleh mengundi di semua unit pusat mengundi, serta membuat beberapa tuduhan lain yang memfitnah SPR.

“Ia (laporan itu) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya melemparkan dakwaan dan tuduhan yang memfitnah SPR,” kata Kamaruddin dalam satu kenyataan di sini.

Harakah, keluaran 11-14 Jun 2012 menyiarkan dakwaan Zulkifli itu.

Beliau mendakwa bahawa beliau pernah mengundi dua kali pada PRU tahun 80an di dua pusat pengundian, iaitu di Dewan Undangan Negeri Permatang dan Kunci Air Tanjung Karang.
Zulkifli juga mendakwa pada PRU 2004, SPR melakukan penipuan apabila satu nama boleh mengundi di semua unit pusat mengundi, dan pada PRU 2008, tiga rakannya tidak dapat mengundi disebabkan nama mereka sudah digunakan oleh orang lain.

Beliau juga mendakwa SPR telah mengeluarkan kad pengenalan palsu dengan menggunakan nama orang lain tetapi menggunakan gambar orang yang akan mengundi, serta mendakwa SPR menggunakan nama pengundi yang dikenalpasti tinggal di luar negara dan tidak balik untuk mengundi.
Zulkifli juga turut mendakwa bahawa melalui sumber maklumat yang diperolehinya MyKad palsu dibuat di sebuah kilang di Klang, manakala “cip” dalam MyKad adalah dari negara China. – Bernama


Ulasan

Catatan Popular