PARTI IKATAN BAKAL GANTI UMNO

Protem Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir diiringi oleh Timbalan Presiden Ragunath Kesavan, Ong Hock Siew dan Datuk Seri Bujang Ulis 7 Jun, 2012. — Foto Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 7 Jun — Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) hari ini dilancarkan oleh Protem Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, dengan membawa matlamat menyambung kesinambungan semangat perjuangan Umno lama di zaman Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman.
Abdul Kadir menegaskan, beliau berpegang kepada semangat perjuangan Umno zaman menuntut kemerdekaan dahulu kerana pemimpin di zaman itu begitu mementingkan perpaduan antara kaum dan agama, yang dilihatnya semakin pudar di bawah kepimpinan kerajaan.

“Ikatan hanya menyambung usaha pemimpin Umno terdahulu yang amat mementingkan perpaduan. Isu perpaduan dan agama sekarang ini dilihat menjadi isu yang dimainkan dengan meluas.

“Sekarang saya lihat perpaduan dah macam jadi benda kecil. Kami ingin membawa kembali rakyat ke pangkal jalan,” kata Abdul Kadir kepada pemberita ketika sidang media selepas pelancaran rasmi hari ini di sini.


Bekas timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) itu juga menegaskan, parti barunya itu berjuang berlandaskan isu, malah menolak dakwaan untuk dikaitkan dengan pembangkang.
 “Kami parti yang berteraskan isu. Memang banyak antara isu yang kami bawa sama seperti PR, tapi ada juga beberapa perkara yang bercanggah.
“Kami akan perjuangkan isu,” katanya merujuk kepada pembangkang Pakatan Rakyat (PR). Beliau turut menambah,” kami bukan “kuasa ketiga.”

Malah, bekas menteri Kabinet ini juga menegaskan, Ikatan masih belum bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke -13 akan datang, namun dijangka akan menjadi parti terbesar dalam tempoh setahun akan datang dengan anggaran keahlian 500,000 hingga ke sejuta ahli.

“Kami tidak akan bertanding pilihan raya umum kali ini. Masa sudah sangat suntuk. Tapi saya yakin kami akan jadi parti terbesar kerana isu kami adalah rakyat Malaysia.

“Kami utamakan bangsa Malaysia, bukan untuk mendapatkan kuasa,” tegasnya lagi yang tidak menghalang jika ada ahlinya ingin bertanding pilihan raya umum ke-13 kali ini menggunakan tiket parti lain.

“Ahli kami ada banyak muka baru, berkelulusan tinggi dan bertanggungjawab. Banyak calon boleh menang, mereka boleh bertanding dengan parti lain jika nak bertanding.

“Tapi ada juga pemimpin parti lain yang ingin sertai kami, namun saya tidak boleh mendedahkan identiti mereka,” tambahnya.

Ditanya kenapa beliau tidak menggunakan Amanah untuk perjuangannya itu, Abdul Kadir menjelaskan Amanah hanyalah sebagai NGO, dan tidak mempunyai kuasa politik.

“Amanah turut dibentuk dengan tujuan sama. Tetapi pertubuhan itu adalah NGO, jadi kami buat keputusan untuk keluar Amanah dan bentuk parti politik.

“Saya tidak menghalang jika ada ahli Amanah ingin sertai kami. Ramai antara ahli yang mendaftar dengan Ikatan adalah ahli Amanah,” katanya dan menambah, “kami tidak akan memaksa mereka sertai Ikatan.”

Mengulas lanjut berkenaan keengganannya menyertai PR, Abdul Kadir menjelaskan, beliau tidak menyertai PR berikutan parti itu sudah pun mempunyai pemimpin mereka sendiri, dan jika beliau mendaftar, beliau hanya akan menjadi ahli biasa.

“Mereka dah banyak pemimpin. Jika saya daftar jadi ahli, hanya jadi ahli biasa sahaja. Dengan ada kuasa, kita boleh rekrut ahli,” katanya yang turut memuji kepimpinan PAS sekarang, yang menurutnya “mempunyai nilai serupa seperti Umno suatu ketika dahulu.”

Ikatan bagaimanapun masih lagi belum menjadi parti yang sah walaupun telah menghantar borang pendaftaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 5 Jun lepas.

Antara Ahli Jawatankuasa Tertinggi Ikatan adalah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mustafa Kamal Maulut, dengan tiga Timbalan Presiden, Ragunath Kesavan, Ong Hock Siew, dan Datuk Seri Bujang Ulis.

Ulasan

Catatan Popular