PERUTUSAN HARI GURU DPPM
TAHNIAH GURU: JASAMU TIADA
DILUPAKAN
(15 Mei 2012)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan selamat Hari Guru bagi
tahun 2012 kepada semua pendidik di negara ini. Syabas dan tahniah kepada para
guru yang berterusan memberikan perkhidmatan dalam dunia pendidikan tanpa berasa
lelah, jemu dan berputus asa bagi memastikan kecemerlangan akademik terhadap
pelajar-pelajar setiap tahun.
DPPM menyanjung tinggi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan
pendidik dalam melahirkan generasi yang beriman, bertaqwa dan berharga dalam
masyarakat. Mereka umpama obor yang menerangi alam dengan ilmu dan hikmah yang
mereka tebarkan. Tanpa mereka tiadalah semua golongan cendikiawan, cerdik
pandai, pemimpin dan ahli politik hebat seperti sekarang. Sewajarnya peranan dan
sumbangan mereka dimartabatkan setingginya.
DPPM menekankan bahawa komitmen Pakatan Rakyat terhadap para pendidik
amat tinggi dengan berusaha pembelaan yang sewajarnya kepada mereka. Malahan,
segala imbalan dari kerajaan pusat untuk guru guru termasuk
ura-ura tambahan tawaran oleh kerajaan sempena Sambutan Hari Guru adalah hasil
daripada perjuangan PR melalui Buku Jingga. Pakatan Rakyat
juga berusaha memastikan pendidikan percuma dinikmati oleh rakyat segenap
peringkat dari peringkat bawahan sehinggalah keperingkat tertinggi. Adalah
diharapkan, tiada seorang pun rakyat tercicir dari menerima pendidikan sebagai
asas dalam kehidupan.
Semoga para guru dan pendidik terus membimbing ummah sebagai insan
teladan dan terpuji sepanjang zaman. DPPM mendoakan para pendidik sentiasa
mendapat kemuliaan disisi masyarakat dan mereka pula berusaha melipatgandakan
dedikasi mereka dalam dunia pendidikan.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan