"TIADA SIAPA SURUH...JANGAN TAGIH SIMPATI" : KHALID
KUALA LUMPUR, 19 April — Dua pemimpin tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini memberikan komen mengenai serangan ke atas kumpulan aktivis mahasiswa di Dataran Merdeka, dengan menterinya Datuk Seri Khaled Nordin menolak untuk bersimpati sementara timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah melahirkan kebimbangan tentang insiden itu.
Di laman Twitter pagi tadi, Khaled memberikan respons berhubung laporan serangan itu mengatakan tiada sesiapa yang mengarahkan kumpulan mahasiswa itu berkhemah di kawasan tumpuan ramai itu.
“Takde siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa2 perkara, jgn tagih simpati,” tulisnya di Twitter.
Tetapi semasa bertemu di Parlimen di sini, Saifuddin berkata beliau lega tiada sesiapa mengalami kecederaan parah dalam insiden pukul 2.45 pagi tadi menambah bahawa ia satu “perkara yang perlu dibimbangkan.”
Ahli Parlimen Temerloh itu juga mengulangi pandangannya bahawa kumpulan mahasiswa itu “mempunyai hak berada di situ” walaupun bukan semua bersetuju dengan tindakan itu.
Kumpulan aktivis mahasiswa itu telah berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu selepas ratusan mahasiswa menyertai himpunan aman di bandar raya mendesak kebebasan selepas kecewa oleh terma dan syarat bayar balik skim pinjaman pelajaran tinggi kerajaan.
Namun pagi ini, kumpulan mahasiswa itu mendakwa diserang kira-kira 60 hingga 70 individu tidak dikenali mendesak agar mereka pulang.
Ulasan
Catat Ulasan