PRESIDEN : UMNO GAGAL LAHIR PEMIMPIN BERSAHSIAH...APA KATE UMNO?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, kepimpinan Umno gagal dalam membentuk sahsiah pemimpin mereka dengan ilmu dan sahsiah Islam kerana parti pemerintah itu hanya membentuk pemimpin yang mengamalkan rasuah dan mengutamakan kepentingan peribadi.


Dalam satu kenyataan bertajuk “Surat Terbuka untuk Pejuang Melayu”, Hadi menjelaskan, Islam yang ada pada Umno hanyalah sekadar agama, dan bukannya “al-Din” seperti yang dinyatakan al-Quran.

“Pendekatan semangat kebangsaan Melayu Umno sejak lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan menjadikan Islam sekadar satu religion atau agama, bukan ‘al-Din’ yang dinyatakan oleh al-Quran.

“Umno tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sahsiah Islam, Umno hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti,” tegasnya.

Tambah Hadi, kepimpinan itu menurut pemimpin Umno dianggap sebagai peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna.

“Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam,” katanya.
“Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam,sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya, akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan Umno, bahkan jatuh terhumban bersamanya,” tegasnya lagi.
“PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

“Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya,” tambahnya.

Menurut Hadi, Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya.

“Tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

“Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita.

“Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua,” tambahnya lagi.

“Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO,” tegas Hadi.

Sehubungan itu, beliau menggesa, individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, seperti yang diwar-warkan di media massa, mereka harus benar-benar ikhlas kerana Allah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia termasuk bangsa Melayu.

“Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu,” tambahnya lagi.

Ulasan

Catatan Popular