PEMUDA PAS SELANGOR DIGESA PASANG BENDERA DI STESEN KOMUTER


 Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh penyokong dan ahli Pakatan Rakyat untuk menaikkan bendera parti komponen Pakatan Rakyat di seluruh stesen komuter di Selangor. Ini berikutan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menaikkan bendera Barisan Nasional (BN) di kebanyakan stesen komuter di Selangor.

Bagi membuktikan pihak pentadbiran KTMB bersikap terbuka dalam ruang demokrasi di negara ini, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat perlu mengambil peluang ini untuk mengibarkan bendera di stesen yang sama. Dalam pada pihak KTMB memastikan bendera BN terus berkibar, bendera parti komponen PR juga perlu terus dikibarkan sama dan jangan ada tindakan sabotaj dibuat terhadap bendera milik parti komponen PR.

DPPM mengingatkan Stesen Komuter KTMB adalah milik awam. Tidak wajar hanya bendera BN sahaja dibenarkan dipasang, sebaliknya bendera PR ditegah. Stesen komuter perlu dijadikan kawasan yang bebas kepada mana-mana parti politik untuk menggantung bendera masing-masing.

DPPM juga mengajak kakitangan KTMB yang menyokong Pakatan Rakyat agar jangan takut dalam menyatakan sokongan terbuka kepada PR, kerana itu adalah hak mereka masing-masing. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia, semua hak itu perlu dihormati. Mereka juga diajak untuk turut sama menggantung bendera parti komponen PR di stesen komuter di sekitar Selangor tanpa rasa takut.

Jika mereka dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan KTMB atas tindakan mereka itu, ini membuktikan KTMB masih dikawal oleh pengaruh BN yang mengongkong kakitangannya daripada menyatakan sokongan politik kepada mana-mana pihak. Jika ini berlaku, kerajaan ternyata masih mengamalkan ‘politik kuku besi’ dengan mengugut pegawai kerajaan atau kakitangan agensi di bawahnya untuk menyokong mereka sahaja. Justeru, DPPM ingin mengingatkan bahawa perkhidmatan komuter dan juga stesennya dibina hasil dari titik peluh rakyat yang memberikan sumbangan kepada kerajaan dan negara, bukan dibina hasil duit pemimpin BN.

Ulasan

Catatan Popular