4 Feb 2012

SMM PROTES 19 FEB JIKA MB KEDAH PERTAHANKAN KEBEBASAN MAHASISWA!!!
abu nu'man4 Feb 2012 0 Komentar

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menegaskan pihaknya sudah bersiap untuk menggerakkan protes besar-besaran di hadapan Wisma Darul Aman Alor Setar pada 19 Februari ini jika Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus mempertahankan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, yang didakwa mengekang kebebasan pelajar.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, pergerakan itu mengharapkan agar kepimpinan tertinggi Pas dapat menimbang tara dengan sebaik mungkin tuntutan yang dikemukakan oleh mahasiswa.

Hari ini SMM meletakkan tiga tuntutan berhubung isu membabitkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

"SMM juga mengharapkan agar pertemuan antara pimpinan tertinggi Pas dan MB Kedah nanti bakal menghasilkan keputusan yang positif," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pertemuan Pas Pusat dengan Azizan dijangka berlangsung 12 Februari ini bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu semasa. Pada tarikh itu juga Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja.

Ahmad Shukri berkata, SMM menyambut baik kesungguhan pimpinan tertinggi Pas yang akan memanggil Azizan bagi mencari solusi terbaik terhadap isu semasa.

"SMM tegaskan bahawa mahasiswa masih berpegang pada premis perjuangan yang sama iaitu menentang akta zalim Auku dan sebarang akta yang serupa seperti Akta 555, Akta 174, dan Akta 173.

"Kesemua akta ini bersifat menyekat peluang aktivisme mahasiswa seperti yang terkandung dalam Seksyen 15 Auku dan Seksyen 47 Akta 555.

"Akta ini juga menjadikan IPT seolah-olah hamba pemerintah apabila bidang kuasa yang dimiliki oleh menteri adalah terlalu besar," katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, mahasiswa menyokong penuh inspirasi Buku Jingga yang menyatakan hasrat pemansuhan Auku sebagai manifesto Pakatan Rakyat (PR) apabila berjaya memerintah persekutuan.

Dalam isu lima pelajar Kuin, katanya, sejak Mei lalu, SMM telah menuntut agar pengurusan kolej selaku IPT milik penuh Kerajaan Negeri Kedah itu tidak menggunakan Akta IPTS, yang serupa seperti Auku, dalam menghukum lima pemimpin mahasiswa yang terlibat dalam konflik Kolej Tahfiz Ar-Razi.

"Namun tuntutan itu tidak diterima, bahkan lima mahasiswa tersebut digantung pengajian sehingga dua semester, hanya kerana mempraktikkan hak yang dijamin perlembagaan iaitu berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan secara terbuka.

"Perkara ini telah kami bawa kepada pihak yang lebih berautortiti iaitu Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Dato Seri Azizan Razak," katanya lagi.

Katanya, asas tuntutan yang diberikan kepada Azizan ialah supaya beliau memberi konsultasi kepada Kuin agar tidak mengguna pakai akta 'zalim' dalam melayani kebangkitan mahasiswa Kuin.

"Mahasiswa menuntut agar Kuin menggunakan budi bicara dengan tidak menghukum mahasiswa yang terbabit.

"Keadaan tambah keruh apabila MB Kedah bukan sekadar tidak menunjukkan protes terhadap akta zalim ini, bahkan beliau sendiri mengeluarkan kenyataan-kenyataan pro-Auku dan Akta 555," katanya sambil menambah, kenyataan-kenyataan itu mempamerkan seolah-olah Menteri Besar Kedah tidak menghormati agenda perjuangan mahasiswa yang selama ini turut diperjuangkan oleh gerakan rakyat lain termasuk parti-parti politik.

Tambah beliau, hukuman dikenakan terhadap lima mahasiswa tersebut merupakan satu pencabulan hak asasi yang perlu diperbetulkan pada masa akan datang.

Kes pelajar-pelajar terbabit sudah difailkan di mahkamah.

"Apa yang lebih penting ialah akta yang menjadi punca kepada penganiayaan terhadap mahasiswa ini perlu ditentang oleh semua pihak bagi memastikan tragedi Kuin lima tidak berulang.

"Oleh itu, menyambut inisiatif Pas, SMM ingin mengemukakan beberapa tuntutan dengan harapan pimpinan tertinggi Pas boleh menerima idea pandang yang diutarakan oleh mahasiswa," katanya lagi.

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ialah:

- SMM mengharapkan agar pimpinan tertinggi Pas turut melibatkan wakil mahasiswa dalam pertemuan dengan MB Kedah kelak.

- SMM menuntut agar MB Kedah bersedia untuk menarik balik semua kenyataan beliau yang memihak kepada akta zalim Auku dan Akta 555.


- Mahasiswa menutut agar MB Kedah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Kedah menjamin hak aktivisme mahasiswa dan rakyat secara keseluruhannya seperti mana yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
In Category :
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN WANGSA MAJU Blog Rasmi DPPWM Facebook dan Twitter

0 Komentar

Catat Ulasan

................................................................................................

SEBARANG INFAQ / DERMA BOLEH DISALURKAN KEPADA

AKAUN DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN WANGSA MAJU
No. Account : 564557122098
Bank : Maybank
Branch : Wangsa Maju

................................................................................................

Disclaimer

Disclaimer/ Penafian

The views expressed in the posts and comments of this blog do not necessarily reflect the Dewan Pemuda PAS Kaw. Wangsa Maju (DPPWM). They should be understood as the personal opinions of the author or commenter. Your words are your own, so be nice and helpful if you can.

Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di atas adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian dppwm.blogspot.com. DPPWM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.