KETUA DEWAN ULAMA BANTAH PRESIDEN

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib telah secara terbuka membantah sekeras-kerasnya hasrat presiden parti itu untuk berundur, menegaskan mahu melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
Harun berkata Hadi yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang adalah pemimpin harapan beliau untuk mengetuai kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat nanti.
"Saya tidak setuju beliau (Hadi) berundur, saya bercita-cita nak lihat beliau jadi perdana menteri. Kalau beliau berundur dan tidak bertanding pilihan raya umum ke-13 maka tidak capai hasrat kita (lihat Hadi jadi perdana menteri).

"Sebab itu saya secara peribadi tidak setuju beliau berundur, kalau Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 beliau akan jadi perdana menteri dan menegakkan semula Islam," katanya.
Tambah Harun, Hadi mampu membawa perubahan kepada Malaysia dan menjadi seorang ketua negara yang baik, menambah tidak mahu "memikirkan sekiranya Anwar dilpilih mengetuai Pakatan Rakyat."

"Kalau menang beliau (Hadi) boleh jadi perdana menteri, soal Anwar saya tidak tahu kerana dalam kepala saya presiden PAS akan menjadi perdana menteri.

"Ramai ahli tidak bersetuju beliau berundur kerana masih yang mahu melihat beliau bertanding dan memimpin," katanya.

Beliau menambah akan mengadakan pertemuan dengan Hadi secara peribadi untuk membincangkan perkara itu.

"Saya akan berdepan dengan beliau secara peribadi tapi saya tegaskan tidak bersetuju cadangan beliau mahu berundur," katanya menambah parti akan memutuskan pendirian sekiranya Hadi benar-benar serius.

Ulasan

Catatan Popular