Index:Najib lebih kuku besi dari mugabe

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan tidak mendabik dada dengan merasakan indeks kebebasan akhbar di negara ini bertambah baik dari sebelumnya.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, meskipun Indeks Kebebasan Akhbar Malaysia bagi tahun 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders mencatatkan Malaysia di tangga ke 122 berbanding 141 pada tahun 2010, ini tidak bermakna tahap kebebasan akhbar di Malaysia bebas dari sebarang pengaruh dan kongkongan politik.

Ini, katanya kerana dengan kedudukan Malaysia sekarang ini menunjukkan tahap kebebasan akhbar di Malaysia amat jauh dan rendah dari yang sepatutnya.

Malah negara ini, ujarnya ketinggalan berbanding negara yang masih membangun seperti Papua New Guinea di kedudukan 35 serta Cambodia yang berkedudukan ke 117.

Lebih mengecewakan, tambah beliau Malaysia ketinggalan di bawah negara Zimbabwe yang merupakan negara kuku besi di bawah rejim Robert Mugabe.

“Indeks kebebasan akhbar yang dikeluarkan ini memberikan gambaran sejauh mana tahap kekebasan akhbar di negara ini dalam memberikan liputan terhadap sesuatu perkara terutama yang membabitkan pembangkang,” ujarnya kepada Harkahdaily.

Sejak dahulu sehingga kini, ujarnya pembangkang jarang diberikan ruang mendapat liputan yang adil dalam media utama.

Malahan, katanya semakin menghadapi pilihanraya umum ke-13 semakin banyak serangan media ditujukan kepada pemimpin Pakatan Rakyat sehingga sesuatu isu itu dimanipulasi sedemikian rupa supaya menimbulkan persepsi buruk rakyat terhadap pembangkang.

“Keadaan ini telah meletakkan rakyat pada suatu persepsi bahawa akhbar di Malaysia amat dikongkong oleh kuasa politik pemerintah di negara ini, sehinggakan rakyat meyakini apa juga berita berbentuk tuduhan yang dikeluarkan oleh media utama terhadap Pakatan Rakyat dan pemimpinnya adalah palsu sebaliknya apa juga penafian yang dibuat oleh pemimpin negara adalah tidak benar,” ujarnya lagi.

Ini, kata beliau adalah simbolik bagaimana rakyat ‘melayan’ kaedah pemberitaan yang dibuat oleh media di negara ini.

Selain itu, ujarnya rakyat terutama golongan muda sudah beralih kepada maklumat alternatif yang ada dalam Internet lebih daripada maklumat di media utama milik kerajaan.

Beliau berkata, blog, Facebook serta berita dari website milik media Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat dengan hits tertinggi.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa media utama di negara ini sudah tidak mendapat tempat kerana pemberitaan yang berat sebelah.

Justeru, katanya Indeks Kebebasan Akhbar yang dikeluarkan perlu menjadi medan musahabah kepada pemimpin negara supaya berlaku adil kepada semua pihak termasuk pembangkang.

“Sekiranya gaya pemberitaan masih tidak berubah malah semakin buruk terutama menjelang PRU ke 13, tidak mustahil Indeks Kebebasan Akhbar negara ini jatuh merudum kembali tahun hadapan dengan prestasi yang lebih buruk.

“Lebih dari itu, rakyat semakin jelak dan hilang keyakinan untuk membeli dan membaca akhbar utama di negara ini,” ujarnya lagi.-HD

Ulasan

Catatan Popular