MAJLIS FATWA KATE DAKWAT KEKAL HARUS... SO APA LAGI ALASAN SPR???

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah harus dan dibenarkan.

Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata perkara itu diputuskan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

"Dakwat itu jika digunakan oleh umat Islam ia boleh diserap air jadi tidak akan menimbulkan sebarang masalah untuk menunaikan sembahyang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu di sini.
Mesyuarat yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan dan mufti.

Pada Disember lalu, SPR mengumumkan dakwat kekal jenis 'silver nitrate' akan digunakan pada PRU13.

Dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Shukor berkata ujian yang dijalankan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga mendapati penggunaannya tidak memudaratkan atau pun memberikan kesan sampingan.
Bagaimanapun, katanya keputusan itu adalah tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa dan yang diuji sahaja.

"Jika SPR berhasrat menggunakan dakwat jenis lain, maka keputusan lain perlu dibuat. Tetapi difahamkan SPR hanya akan menggunakan dakwat yang sama," katanya. - BERNAMA

Ulasan

Catatan Popular