POLIS DAH IZINKAN!!!... KHUTBAH HARI INI BANTAH HIMPUNAN 901...
"CINTA NEGARA "
( 6 JANUARI 2012/ 12 SAFAR 1433H )
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai " Cinta Negara”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan kedatangan tahun baru 2012, maka mimbar pada hari ini menyeru kepada jemaah dan umat Islam sekalian marilah kita membina sebuah masyarakat yang cintakan agama, bangsa dan negara dengan sama-sama mempertahankan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi pada hari ini. Walaupun rakyat di negara kita dalam pelbagai bangsa dan agama namun setiap daripada kita hendaklah bertanggungjawab dan sentiasa bersedia serta sanggup mengorbankan kepentingan diri demi negara yang kita cintai. Mimbar ingin menegaskan salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini ialah keamanan. Dengan suasana aman kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112 :
Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Dalam membina cinta negara ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetian dan pengorbanan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)
Ketika menyusuri sirah Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda sangat terkenal sebagai seorang negarawan yang sayang dan setia kepada tanah air. Rasulullah SAW sendiri pernah mengungkapkan perasaan kasihnya sewaktu tiba di
Madinah dalam peristiwa hijrah dengan sabdanya:"Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah atau lebih dari itu ". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Begitu juga dalam misi penyebaran Islam Rasulullah SAW telah memberi keutamaan kepada mewujudkan perpaduan dan keamanan. Umat Islam dikunci dengan erat melalui konsep akidah, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda dan para sahabat juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh golongan munafik dan orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan keamanan dan perpaduan umat Islam. Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah, diantaranya menggunakan agama sebagai alat perpecahan, menggunakan taktik menunjuk perasaan sebagaimana yang berlaku dalam peperangaan Uhud. menyebarkan fitnah, melakukan bantahan secara kekerasan, melakukan huru-hara dan sebagainya. Namun atas kebijaksanaan Rasulullah SAW dan para sahabat dapat menangani segala permasalaah tersebut dan mengekalkan keamanan serta semangat perpaduan dikalangan umat Islam.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan umat Islam di antaranya termasuklah melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan samada melalui media massa dan alam siber. Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini, mereka mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah dengan mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan. Mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai golombang rakyat yang membantah. Mereka bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan, mengheret rakyat ke jalanan, menjadikannya sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-hara negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.
Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah melakukan kesalahan yang besar dan menzalimi umat Islam serta keamanan negara. Percayalah bahawa demonstrasi jalanan yang mengamalkan kekerasaan dan kekacauan merupakan amalan yang dipolopori oleh golongan yang bersifat ekstrem yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jauhilah olehmu duduk-duduk di tepi jalan, Sahabat menjawab, Wahai Rasulullah kami tidak mendapat jalan lain untuk kami berbincang. Maka Rasulullah SAW bersabda: Berikanlah hak-hak jalan iaitu menundukkan pandangan( mencegah daripada memandang yang haram), mencegah gangguan, menjawab salam, amar makruf dan nahi mungkar.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan bahawa: Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah haram.
Justeru, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka. Marilah sama-sama kita mempertahankan tanah air kita ini dari kekacauan, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran ayat 160:
Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan lembaran baru 2012 mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian sama-sama kita membina cinta negara dengan memupuk perpaduan umat dan keamanan. Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan godaan mereka yang ingin menghuru-harakan keamanan negara, jangan kita terlibat dengan agenda untuk merosakkan perpaduan ummah, janganlah kita menjadi seorang muslim yang mencetuskan kekacauan, melakukan rusuhan, mengadu-domba sesama kita. Insafilah bahawa keamanan negara ini bukan datang bergolek tetapi adalah datang daripada pengorbanan semua pihak samada rakyat atau pemimpin. Cintailah keamanan yang wujud di negara kita ini dan peliharalah dengan sebaik mungkin. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang terpengaruh dengan golongan ini diberi keingsafan dan berteduh dibawah payung perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara.
Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfaal ayat 46)
yang ini betul-betul ikut Islam!!!!
Ulasan
Catat Ulasan