TAHNIAH USTAZ NASA : DPP MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menghargai keikhlasan dan tekad yang ditunjukkan oleh YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang bertegas mempertahankan Islam melalui PAS dengan tiada niat sedikitpun mahu menyertai UMNO seperti yang ditohmah kepada beliau sebelum ini.


Bagi DPP Malaysia, ini adalah satu contoh terbaik buat semua pendokong PAS betapa kentalnya iltizam yang ditunjukkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS itu. Meskipun difitnah dari pelbagai pihak, beliau masih tetap teguh berpegang kepada perjuangan PAS yang selama ini didokongnya. Malah segala tohmahan yang dilemparkan tidak sedikitpun merencatkan perjuangan beliau. Sudah tentu kenyataan terbuka beliau untuk terus bersama dengan perjuangan Islam dalam PAS menyejukkan dan melegakan hati seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam ini.

Keperibadian yang tinggi ini adalah natijah dari proses tarbiyah yang ada dalam PAS selama ini. Kejayaan proses tarbiyah PAS bukan menjadikan seseorang itu hebat penampilannya, lebih dari itu menjadikan akidah perjuangannya kental dan tidak mudah goyah walau apa pun ujian yang melanda. Proses tarbiyah PAS membina setiap diri ahli dan anggota berjiwa besar dalam menghadapi segala macam tribulasi. Kerana itulah, PAS terus bertahan sehingga sekarang meskipun diserang dari pelbagai penjuru dan ruang.

DPP Malaysia menganggap semua tohmahan terhadap beliau merupakan mainan media yang mahu melaga-lagakan perpaduan yang kukuh dan ukhwah yang erat di kalangan pemimpin PAS. Media seperti mahu menimbulkan prejudis terhadap PAS dengan menimbulkan polemik yang sengaja direka-reka. Sebaliknya media mahu lensa rakyat melupakan isu-isu besar yang sedang melingkari negara ini seperti penyelewengan dana rakyat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, krisis kepercayaan dalam parti pemerintah, serta polisi dan undang-undang yang membelenggu rakyat. Kesemua ini adalah isu yang perlu dihadapkan kerana melibatkan kepentingan rakyat yang lebih utama.

DPP Malaysia merasa yakin, polemik dalaman yang dicipta oleh propaganda musuh sudah terhenti dan fokus rakyat kini terarah kepada semua kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan pemerintah hari ini. DPP Malaysia dan rakyat tentunya tidak sabar menunggu perubahan yang bakal dijelmakan dalam PRU ke 13 nanti bersama Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera.

Ulasan

  1. Kalau nak berniat nak masuk UMNO jangan pula buat perangai UMNO dalam PAS. Ini mesyuarat tak pernah hadir, keputusan muktamar dan pimpinan tidak dihormati.
    Hanya orang gila saja yang tak dapat merubah diri. Kalau benar bagai dikata berubahlah dan ikutlah jemaah bukan menjadi anai-anai. Apa yang dibimbangkan cakap tak seperti bikin. Ubahlah muka hipokrasi kepada wajah ikhlas.

    BalasPadam
  2. Ya la,dia ni jadi wakil rakyat kat Parlimen Bachok tapi nak tengok muka pu susah....PRU13 ni ganti orang lain jer,,,,

    BalasPadam
  3. DPP ini macam geng senario ke?. Ada apek, ada mazlan pet-pet, ada wahid ......

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular