SELANGOR LAKSANA GAJI MINIMA RM1,500



SHAH ALAM 9 Nov: Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 sebulan di syarikat milik kerajaan negeri bermula tahun depan, dalam usaha menterjemah dasar itu yang diperjuang Pakatan Rakyat.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Belanjawan 2012 yang dikemukakan hari ini.
Menurut Khalid, pelaksanaan gaji minima itu dijalankan menerusi peruntukan Geran Selangorku sebanyak RM300 juta.
“Ini akan dimulakan oleh syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya stabil seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide (Holdings Bhd),” kata Khalid.
Bagi syarikat yang mempunyai prestasi kewangan yang belum stabil, dana sebanyak RM10 juta akan disediakan bagi melaksanakan dasar itu.
Menurut Khalid, kerajaan Selangor akan berusaha meningkatkan produktiviti negeri dan syarikat yang dimiliki supaya ia layak melaksanakan gaji minima.
“Hasrat sebenar bukanlah untuk menabur wang tetapi untuk memberi tambahan pengetahuan dan kemahiran kepada pekerja yang berpendapatan rendah.
“Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan mereka tidak lagi bergantung kepada pemberian pada masa akan datang tetapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup untuk bersaing dan boleh diguna untuk mencapai gaji yang lebih baik,” kata Khalid

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular