ANAK TIDAK SAH TARAF MENGIKUT HUKUM SYARA'

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.


Selain daripada peruntukan undang-undang dan enakmen negeri-negeri, terdapat juga Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang menyatakan tentang status anak yang dikandung ibunya di luar pernikahan yang sah, iaitu:

‘Perempuan yang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya’.


‘Anak zina atau anak luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah’.

Dari segi tanggungjawab untuk memberi nafkah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memberi pandangan:

‘Segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya’.

Garis Panduan Penamaan, Pergaulan dan Hak-Hak Anak Tak Sah Taraf.

Perkara yang akan dibincangkan dalam kertas ini seterusnya adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai asas rujukan dalam menentukan kesesuaian penamaan anak tak sah taraf menurut syariat Islam. Selain daripada itu, ia juga bertujuan memberi kefahaman dan penjelasan kepada semua pihak berkenaan aspek-aspek pergaulan serta implikasi sosial anak tak sah taraf dalam keluarga dan masyarakat.

Dari sudut penamaan anak tak sah taraf, jika seseorang perempuan Melayu beragama Islam bersekedudukan tanpa nikah dengan pasangannya sama ada lelaki tersebut Islam atau bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak tersebut hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau lain-lain nama asma’ al-husna berpangkalkan Abdul. Seseorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ia mungkin akan menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut.

Seseorang anak yang dijumpai terbiar atau anak pungut yang tidak diketahui asal-usulnya hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah, sekiranya nama Abdullah itu bersamaan dengan nama orang yang memelihara anak tersebut, maka bolehlah dipilih nama ‘Asma’ al-Husna’ yang berpangkalkan Abdul seperti Abdul Rahman dan Abdul Rahim.

Dalam konteks pergaulan pula, anak tak sah taraf tidak boleh dihalang daripada menjalinkan apa-apa hubungan atau menjalankan aktiviti yang boleh dijalinkan atau dijalankan dengan seseorang kanak-kanak Islam lain yang sah tarafnya. Pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang telah melakukan persetubuhan tanpa akad nikah dengan ibunya, walaupun lelaki tersebut adalah bapanya yang sebenar, hendaklah berasaskan pergaulan di antara anak tiri dan bapa tiri. Jika anak tak sah taraf itu ialah seorang perempuan, maka wudhu’nya dan wudhu’ suami ibunya, samada si suami itu adalah bapanya yang tidak sah atau pun lelaki lain, maka tidak terbatal wudhu’nya kerana menurut pandangan hukum syara’ suami ibunya itu adalah sebagai bapa tirinya.

Perhubungan antara nak tak sah taraf dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah, tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah itu.

Implikasi Anak Tak Sah Taraf Dari Segi Hukum Syara’.

Dari sudut hubungan nasab (keturunan), anak tak sah taraf tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau salah satu nama asma’ al-husna atau sifat Allah seperti yang telah dinyatakan.

Segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf itu dinasabkan kepada ibunya, tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.

Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka di antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, maka ibunya berhak untuk mewarisi pusakanya. Seseorang anak tak sah taraf adalah terputus hubungan dari segi pusaka dengan bapanya yang tak sah taraf dan ia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak untuk mewarisi pusaka bapanya, begitu juga sebaliknya bapanya tidak berhak untuk mewarisi pusakanya.

Hak perwalian diri anak tak sah taraf sebenarnya terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun, perwalian perkahwinan seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, samada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tidak sah menjadi walinya.

Bagi perkahwinan pula, seseorang anak tak sah taraf perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki yang sah. Berhubung dengan penjagaan anak tak sah taraf, ia adalah dipertanggungjawabkan semata-mata kepada ibu dan saudara-mara sebelah ibunya.

Kematian seseorang anak tak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Sekiranya ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang yang beragama Islam.

sumber : Pejabat Mufti Negeri Selangor

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular