PAS KELANTAN HANTAR SURAT JUMPA NAJIB

Kerajaan Kelantan yang terus meletakkan harapan mahu mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.

Kelmarin, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan persekutuan.

“Kita sebenarnya sudah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk bertemu beliau membincangkan tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

“Tetapi sebelum kita bertemu dengan beliau, kita perlu dapatkan keputusan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II, barulah perkara tersebut kita dapat bentangkan dengan lebih baik,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular