KAMPUNG BARU KINI HANYA TINGGAL SEJARAH


Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) merasa kesal kerana Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 akhirnya diluluskan juga semalam dengan hanya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sahaja yang bangun mempertahankan RUU ini dari diluluskan sementara majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional bersetuju ianya diluluskan.

Tarikh 5 Oktober 2011 serta Persidangan Parlimen kali ini mencatat sejarah hitam buat bangsa Melayu bahawa Kampung Baru yang menjadi warisan Orang Melayu Kuala Lumpur dan menjadi entiti penting kepada Orang Melayu akhirnya diperbadankan. Beratus tahun lamanya tanah eksklusif milik Orang Melayu itu tidak terusik, namun pada tarikh 5 Oktober 2011 ia telah berpindah tangan. Apakah lagi kebanggaan yang tinggal pada Orang Melayu di Kuala Lumpur ini? Sidang Parlimen ini juga menjadi saksi bahawa siapakah yang benar-benar berjuang demi bangsanya dan siapakah yang hanya ‘beretorik’ yang pada hakikatnya mereka tidak peduli terhadap apa yang terjadi kepada bangsanya sendiri. Dimana puak-puak yang selalu berkokok kononnya mereka ultra Melayu dan pejuang sejati bangsa Melayu? Tidak kelihatan untuk bangun mempertahankan isu ini sehingga akhir sidang Parlimen semalam.

DPPKT juga merasa terkejut dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membangunkan Kampung Baru. GLC tersebut adalah Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad. Dalam keadaan Parlimen baru meluluskan Rang Undang-Undang ini, Menteri Wilayah Persekutuan tanpa sabar terus mahu mengadakan perjanjian dengan GLC tersebut. Nampaknya kerajaan telah melantik beberapa GLC dan persefahaman telah dibuat sebelum Rang Undang-Undang ini diluluskan lagi. Amat malang kerana pemilik Kampung Baru belum dimaklumkan lagi, harta mereka telah diagih-agihkan dengan tujuan ‘pembangunan’.

Nampaknya sedikit masa lagi Kampung Baru akan menjadi sibuk dengan projek pembangunan dan pemiliknya pula menikmati ‘pembangunan’ yang mereka ‘selama ini idam-idamkan’. Biarlah kampung sendiri tergadai asalkan Orang Melayu menang sorak dan pastinya yang mendapat laba dan habuan lumayan adalah segelintir elit golongan yang berkepentingan. DPPKT mengharapkan agar penduduk Kampung Baru jadikan perisitiwa 5 Oktober 2011 sebagai peristiwa penting dalam sejarah moden negara serta tidak lagi memberi kepercayaan kepada BN sebagai hukuman paling adil dalam PRU ke 13!


Disediakan oleh;
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

Ulasan

Catatan Popular