ZAID UMPAMA DIKTATOR... 'KITA' RETAK MENANTI BELAH

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), yang diterajui bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, menyaksikan keretakan awal dengan dua pemimpin kanan dikenakan tindakan disiplin — seorang digantung manakala lagi seorang dilucutkan jawatan.


Muhammad Firdaus Christopher, ahli jawatankuasa eksekutif, dikenakan tindakan digantung keahlian manakala Abd Latif A Tambi pula dibuang daripada jawatannya sebagai setiausaha pusat parti.

Muhammad Firdaus ketika dihubungi menyifatkan Zaid mengendalikan parti itu sebagai seorang diktator dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

“Wujud banyak kepincangan dalam parti. Kami sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Zaid . . . sudah tidak yakin dengan beliau,” kata beliau yang sebelum ini pernah dianggap sebagai antara orang kanan Zaid.

Katanya, sekiranya Zaid sebelum mendakwa banyak perkara tidak kena dalam PKR sehingga menyebabkannya keluar parti itu, “beliau seolah-olah mengendalikan Kita seorang diri.”

“Saya sedia untuk membayar apa sahaja kos selagi kebenaran didedahkan dan akan terus berjuang untuk mengetengahkan tentang salah laku, ketidakadilan dan sikap diktator seorang pemimpin,” kata beliau lagi.

Muhammad Firdaus juga membayangkan parti itu berhadapan dengan masalah kewangan dan dua penyandang jawatan bendahari telah pun ditukar sebelum ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi, oleh Setiausaha Kerja Kita Masrum Dayat berkata, “parti kita ingin memaklumkan bahawa laman web, Twitter dan Facebook parti ini telah tidak dapat dilayari seperti biasa kerana mengalami masalah teknikal.”

Katanya, tidak mustahil ada pihak yang yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan perkara itu berlaku.

“Pihak pentadbiran Parti sedang berusaha memulihkannya dan dijangka dapat digunakan seperti biasa minggu depan,” kata Masrum.

Malah menurut Masrum, pada masa yang sama Kita memaklumkan bahawa bahawa Muhammad Firdaus telah digantung keahliannya kerana melalui Facebooknya beliau dengan jelas telah membuat tohmahan liar yang tidak berasas termasuk menghina Zaid.

“Tindak-tanduk beliau yang melampau yang memudaratkan nama baik parti itu dilakukan melalui akaun sosial Facebook beliau.

“Parti ini percaya beliau bertindak demikian semata-mata kerana beliau marah apabila pembayaran elaun bulanannya dihentikan. Parti Kita adalah sebuah parti kecil yang mempunyai sumber kewangan yang terhad,” katanya.

Tegas Masrum, “parti ini juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Pusat atas khidmat beliau selama ini. Perkhidmatan Abd Latif A Tambi tamat berkuat kuasa hari ini untuk menambah kelicinan pentadbiran parti,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, pihaknya akan mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam Kita pada satu sidang media esok.

Kita dilancarkan pada Januari lalu dengan moto “moderat, demokratik dan liberal.”

Malah, Muhammad Firdaus juga menuduh Masrum tidak layak mengeluarkan kenyataan malam tadi kerana beliau bukan merupakan seorang ahli parti.

“Berdasarkan maklumat yang ada pada saya, Masrum bukan ahli parti... jadi, macam mana boleh mengeluarkan kenyataan ini,” katanya lagi.

Ulasan

  1. cayalh calun2 kita akn hilang deposit PRU13 dia mkin pupus spt ppp n gerakan hnya bgtg d bwh ktiak umno

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular