Pakatan tolak ugutan keluar parti

Aziz Muda


(Gambar atas: Tiga pemimpin Pakatan menunjukkan laporan akhbar Umno yang cuba memecahkan mereka dalam sidang medianya petang tadi di Pejabat Agung PAS)

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Dakwaan yang mengatakan sebahagian pemimpin terutama dari DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya PAS dengan persetujuan PKR melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan meneruskan agenda penubuhan negara Islam di negara ini, tidak berbangkit.

Sebaliknya, perkara itu sengaja dicetuskan oleh Umno dan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, para pemimpin Pakatan Rakyat cukup sedar perkara itu dan sehubungan itu mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pada 28 September ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurut beliau, hukum hudud, qisas dan taqzir seharusnya difahami oleh semua pihak, tetapi banyak pihak yang tidak memahaminya dengan mendalam.

Katanya, isu mengenai hukum hudud merupakan sesuatu yang sensitif dan ia amat mudah menimbulkan salah faham kepada phak tertentu.

"Kami dah putuskan untuk bincang perkara ini pada 28 September ini bermula jam 8.30 hingga 12.00 malam. Selepas itu, kami dari PAS, PKR dan DAP dari Pakatan Rakyat akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai perkara itu," katanya pada sidang media itu.

Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka meminta semua pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat tidak membuat apa-apa ulasan mengenainya sehinggalah pendirian bersama dicapai 28 September ini.

Katanya, Umno BN bercakap mengenai isu itu sebagai suatu jalan bagi mencetuskan perselisihan antara PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak akan mengikut agenda mereka.

"Pada mesyuarat 28 September ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri yang kini berada di luar negara akan turut hadir.

"Mesyuarat tersebut diadakan untuk membincangkan Baget 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri nanti, tetapi untuk perbincangan awalnya akan membincangkan perkara ini," katanya.

Menyentuh tentang kenyataan Menteri Besar Kelantan mengenai Kanun Jenayah Syariah Kelantan oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, beliau menegaskan, kenyataan Nik Aziz itu adalah dalam konteks negeri Kelantan.

Kanun Jenayah Syariah Kelantan telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada tahun 1993, manakala ketika PAS memerintah Terengganu turut diluluskan Kanun Jenayah Syariah Terengganu pada persidangan Dun Terengganu pada tahun 1999.

"Kedah sekarang tak buat sebab untuk meluluskan Kanun Jenayah Syariah itu demokratik, iaitu mestilah diluluskan pada persidangan Dun," katanya.

Untuk melaksanakan hukum hudud, jelasnya, memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan disebabkan perkara itulah Kerajaan PAS Kelantan tidak melaksanakan hukum hudud semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu kerana dihalang oleh Mahathir.

"Disebabkan Tun Dr Mahathir kata jangan buat, Kerajaan PAS Kelantan tak bolehlah laksanakan hukum hudud takut Tun Dr Mahathir buat magran iaitu mematikan demokrasi di Kelantan. Tindakan Kerajaan PAS Kelantan itu sebenarnya adalah untuk menyelamatkan demokarsi di negeri itu atau di negara ini," tegasnya

Ulasan

Catatan Popular