HUDUD PERLU LEBIH PERINCIAN : DR ASRI

KUALA LUMPUR, 20 Sept — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat.


“Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan sunah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat,” kata beliau.

Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini, kata beliau sambil menambah, “cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan.”

“Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira,” kata beliau (gambar) lagi.

Katanya, ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini.

“Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir,” kata beliau lagi.

Jelas beliau, hukuman rejam pula patut mengambil kira pandangan yang memasukkannya di bawah takzir bererti pemerintah boleh meminda dan menukar atau membatalkannya.

Di samping tafsiran ihsan itu hendaklah disempitkan kepada maksud lelaki ataupun perempuan yang masih berkahwin bukan yang pernah berkahwin, kata Asri dalam kertas kerja pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru hari ini.

“Ini kerana pengkhianatan kepada pasangan dan keluarga sesuatu yang amat buruk. Di samping takzir, hukuman rejam mempunyai suasana zaman yang berbeza, itupun perlu diambil kira dalam membahaskannya,” kata beliau lagi.

Asri menambah, jika suasana kondusif, perubahan zaman dan tempat diambil kira dalam pelaksanaan hukuman, maka akan didapati hudud mencapai matlamat pencegahan, pendidikan dan dalam masa yang sama menonjolkan keindahan hukuman tersebut.

“Jika tidak, hukuman itu akan membawa fitnah dan salah sangka terhadap Islam. Saya selalu sebutkan hudud bagaikan wanita yang baik, ia akan indah jika bersuamikan lelaki yang baik. Namun keindahannya akan hilang jiwa berada di bawah suami yang fasik dan rosak,” kata tokoh agama yang dilihat progresif ini.

Dalam kertas kerja itu, Asri juga berkata menggambarkan negara Islam atau ‘design’ negara yang diperintah oleh Allah dan rasul-Nya sebagai negara hudud adalah gambaran tidak tepat.

Oleh itu kata beliau, hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam kerana asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan Sunah.

“Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat.

“Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat,” kata beliau.

Katanya, penafsiran perkataan ‘makruf’ dan ‘munkar’ hendaklah diluaskan dalam konteks kehidupan muslim secara umum dan kenegaraan secara khususnya.

Oleh itu katanya, keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum.

“Tiada beza antara hukuman terhadap sultan atau raja dengan rakyat biasa.

“Tiada beza antara orang besar dan orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa,” kata beliau sambil menambah, “kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga.”

Malah katanya, kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat atas kebaikan itu dengan rakyat mendoakan pemerintah, pemerintah mendoakan rakyat.

“Suasana cinta dan kasih tersebar secara meluas,” katanya.

Asri juga berkata, pelaksanaan hudud hendaklah mengambil kira persoalan suasana hudud itu dilaksanakan kerana suasana yang tidak kondusif akan menyebabkan kesan negatif kepada pelaksanaan sesuatu hukuman.

“Ini kerana Nabi s.a.w sendiri mengambil kira persoalan ini,” katanya.

Katanya ia bermakna pelaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau salahfaham terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar sehingga menggugat keimanan umat Islam yang lain patut dielakkan.

“Hari ini suasana berubah, media massa sering digunakkan untuk memberikan imej yang salah mengenai Islam. Persediaan ke arah menangani hal itu juga amat penting,” katanya.

Katanya, Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda.

“Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang.

“Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suasana kebajikan; bantu-membantu, tolong-menolong antara masyarakat yang kukuh,” kata beliau sambil menambah, “jaminan hak rakyat yang diberikan iaitu berkaitan dengan suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya.”

“Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

“Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum; pertama kerana dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah,” kata beliau.

Malah menurut Asri, perjuangan penting pada hari ini ialah mewujudkan suasana yang kondusif sebelum sesuatu undang-undang ini dilaksanakan.

Ulasan

Catatan Popular