JENAYAH WUJUD SEBAB GAGALNYA TAQWA : TG NIK AZIZ

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata jenayah akidah seperti murtad berpunca daripada ketakwaan yang tidak dipupuk dalam diri masyarakat.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua pihak agar marilah kita menjadikan takwa sebagai asas dalam setiap sudut kehidupan kita.

Katanya, setelah umat Islam menjalani tarbiyah Ramadan selama sebulan dengan ibadat seperti puasa, qiam, bacaan al-Quran dan sebagainya, “kita diperintahkan untuk menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan menewaskan hawa nafsu.”

“Semoga Ramadan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertakwa sebagaimana natijah serta hikmah puasa itu sendiri,” kata beliau dalam perutusan sempena Aidilfitri yang dikeluarkan hari ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, takwa ertinya pelindung dan apa yang dimaksudkan dengan pelindung ialah pelindung daripada api neraka.

“Justeru, apabila masyarakat yang bertakwa berjaya diwujudkan hasil daripada tarbiyah di bulan Ramadan, Insya-Allah tidak akan berlaku kes-kes rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya. Ini kerana punca kepada semua jenayah ini ialah kerana manusia tidak bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala,” katanya.

Beliau juga berkata, “Alhamdulillah, tahun ini Hari Raya disambut hampir serentak dengan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2011.”

“Saya berharap biarlah sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dihayati dengan makna kemerdekaan yang sebenar iaitu merdeka daripada penjajahan hawa nafsu dan seterusnya melaksanakan setiap perintah Allah Subhanahu Wataala.”

Ulasan

Catatan Popular