DR. UTHMAN, ULAMA UMNO ENGGAN DIALOG ISU WAHABI...

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady telah menolak pelawaan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya agar diadakan satu dialog berhubungi isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan soal fahaman Wahabi baru-baru ini.

Juanda menerima surat penolakan mengenai idea berdialog itu, yang dicadang diadakan ketika Ramadan sekarang, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Juanda berkata beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan ahli akademik takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi buta,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Jelas Juanda isu itu amat penting dan mendesak untuk diselesaikan memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial dengan pihak Arab Saudi.

“Pihak di sana tentu tertanya tanya kenapakah mereka dituduh sedemikian rupa melalui premis rasmi kerajaan sedangkan kerrajaan Malaysia sering mewar-warkan mendapat kedudukan hubungan paling istimewa dengan Arab Saudi berbanding negara yang lain,” kata Juanda sambil menambah, beliau berharap Uthman tidak menolak ajakan berdialog begitu sahaja.

“Tak perlu dolak-dalik dengan banyak alasan. Kami sentiasa sedia menunggu beliau hadir untuk dialog ini untuk mendengar hujah-hujah beliau. Mereka yang dituduh juga ingin dengar tuduhan daripada mulut beliau sendiri terlebih lagi jika dialog ini diadakan di hadapan pihak mereka dan pihak lain yang terlibat agar mereka berpeluang menjelaskan kedudukan sebenar perkara yang dituduh itu, terutama kerajaan Arab Saudi,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, banyak pihak seperti Persatuan Ulama Malaysian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengalu-alukan idea diadakan dialog harmoni agar perselisihan berkaitan hal ini dapat diselesaikan dengan baik.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider sebelum ini, Uthman yang dipanggil MKN untuk memberi taklimat mengenai Wahabi berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata beliau yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (Istac).

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

Dalam kenyataannya hari ini, Juanda menambah, tokoh tersebut “sepatutnya tidak berdolak-dalik” memandangkan dalam laporan media sebelum ini beliau bersetuju untuk menyertai dialog secara tertutup.

Ulasan

Catatan Popular