10 Ogo 2011

BERSIH 2.0 BAGI 3 BULAN LAKSANAKAN TUNTUTAN... KALAU TAK...
abu nu'man10 Ogo 2011 0 Komentar

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Sebulan selepas perhimpunan 9 Julai, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tetap dengan pendirian mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan pilihan raya terutamanya daftar pemilih.

Selain itu, menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan , pihaknya memberi tempoh tiga bulan kepada SPR untuk melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“Selepas sebulan kalau kita lihat telah wujud banyak perkara yang membuktikan semua tuntutan kami adalah berasas, malah ada bukti yang mana pada pendapat saya, SPR patut menangani dengan serius tentang perkara ini,” kata beliau.

Ambiga menambah, “persoalannya sekarang bagaimana pemastautin tetap boleh didaftarkan sebagai pengundi?”

“Jadi kami mahu SPR menubuhkan jawatankuasa khas dengan melibatkan wakil parti-parti politik untuk selesaikan semua isu pilihan raya terutamanya daftar pemilih,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ambiga sebelum ini pernah mencadangkan kepada SPR agar menubuhkan jawatankuasa khas itu dan Timbalan Pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihak akan mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Tetapi sampai sekarang kita belum mendapat apa-apa maklum balas mengenai perkara ini, kita akan teruskan tindakan untuk mendesak agar tuntutan ini dilaksanakan.

“Kita tetap mahukan SPR tubuhkan jawatankuasa khas ini, ia sangat penting untuk siasat semua masalah yang berlaku,” tambah Ambiga.

Bercakap soal kepincangan daftar pemilih yang menyaksikan banyak pendedahan dibuat Pakatan Rakyat, beliau menegaskan, “ia terbukti satu penipuan yang paling serius.”

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Daftar pemilih adalah satu perkara yang paling utama dalam pilihan raya, pendedahan yang dibuat PAS dan Pakatan Rakyat ini sangat serius kerana ia adalah satu penipuan yang nyata.

“Mereka (SPR) mesti melakukan siasatan secara telus dan mesti memberi penjelasan kepada rakyat tentang perkara ini,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini.

Kata Ambiga, tindakan SPR membenarkan pemastautin tetap mendaftar sebagai pengundi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun banyak bukti didedahkan, namun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR tetap menafikan perkara itu.

“Memang parti-parti politik boleh membuat bantahan dalam masa-masa tertentu, tetapi ia satu proses yang tidak memberikan apa-apa hasil, malah ia bertentangan dengan peruntukan-peruntukan yang ditetapkan.

“Mana-mana pemastautin tetap tidak dibenarkan untuk mengundi. Kalau dibenarkan, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana bukan warganegara Malaysia tidak boleh menjadi pengundi,” tambahnya.

Ekoran pendedahan itu, Pakatan Rakyat telah menyerahkan surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memanggil sidang tergempar Parlimen dalam tempoh tujuh hari bagi membahaskan isu itu.

Ditanya apa tindakan Bersih 2.0 selepas ini, Ambiga bagaimanapun berkata pihaknya akan melihat tindakan yang diambil SPR dan kerajaan dalam tempoh tiga bulan ini.

“Semua tuntutan Bersih 2.0 boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan, kami akan melihat perkembangan terbaru... apa tindakan SPR dan kerajaan,” katanya.
In Category :
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN WANGSA MAJU Blog Rasmi DPPWM Facebook dan Twitter

0 Komentar

Catat Ulasan

................................................................................................

SEBARANG INFAQ / DERMA BOLEH DISALURKAN KEPADA

AKAUN DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN WANGSA MAJU
No. Account : 564557122098
Bank : Maybank
Branch : Wangsa Maju

................................................................................................

Disclaimer

Disclaimer/ Penafian

The views expressed in the posts and comments of this blog do not necessarily reflect the Dewan Pemuda PAS Kaw. Wangsa Maju (DPPWM). They should be understood as the personal opinions of the author or commenter. Your words are your own, so be nice and helpful if you can.

Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di atas adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian dppwm.blogspot.com. DPPWM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.