APA CER? MENTERI BN KETUAI PANEL KHAS

Nazri Aziz menegaskan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya akan diketuai oleh seorang menteri bukannya wakil Pakatan Rakyat sambil berkata, keputusan sebelum ini “tidak bermakna tidak.”


Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyoal pembangkang agar memberikan “satu alasan yang baik” mengapa wakil Pakatan Rakyat seharusnya menyandang jawatan itu.

Katanya, hanya kedudukan seorang menteri persekutuan akan membolehkan akses mudah kepada kemudahan-kemudahan kerajaan.

“Seperti jawatankuasa-jawatankuasa sebelum ini, seorang menteri lazimnya mempengerusikannya agar ia (jawatankuasa pilihan khas) boleh menikmati kesemua kemudahan kerajaan... memanggil mesyuarat. Tambahan, menteri dihormati oleh kesemua ahli Parlimen,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Nazri menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Parlimen bersetuju bahawa amalan itu adalah berlandaskan konvensyen dan bukannya aturan Parlimen.

“Tetapi ini adalah realiti di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, “persoalan saya ialah mengapa mereka mahu jadi pengerusi? Apa istimewa sangat jawatankuasa ini?”

“Kita seringkali mengadakan jawatankuasa dan setiap jawatankuasa adalah istimewa, jadi mengapa yang ini istimewa sangat?” katanya lagi.

Pemimpin dari Umno ini mengulangi bahawa jawatankuasa ini akan terdiri daripada sembilan ahli iaitu lima dari Barisan Nasional (BN) termasuk seorang pengerusi, masing-masing satu mewakili PAS, DAP dan PKR manakala seorang dari barisan Bebas.

“Dalam jawatankuasa sebelum ini, biasanya tujuh anggota.... empat dari BN dan tiga daripada setiap parti Pakatan Rakyat.

“Itu sebelum kita ada anggota Bebas di Dewan. Sekarang untuk memperakui (kehadiran) wakil rakyat Bebas, kita menambah bilangannya kepada sembilan,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya adakah pendirian itu bermakna permintaan Pakatan Rakyat untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pilihan khas ini sudah ditolak, Nazri mengulangi, “berikan saya satu sebab” mengapa kedudukan sebaliknya perlu diamalkan.

Apabila ditanya lagi bagi mendapatkan jawapan, menteri itu menambah, “baik, menyedari (pendirian) Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz, tidak bermakna tidak. Jadi, tidak bermakna tidak.”





Ulasan

Catatan Popular