PROGRAM "ADIK & AL QURAN" DIHENTIKAN SEBAB BERSIH

Mungkin ramai yang terkejut apabila program keagamaan, Adik & al-Quran yang disiarkan di TV9, telah dihentikan siarannya sejak seminggu lalu.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar hosnya, Ustaz Haji Mohd Zamri Haji Mohd Zainuldin (gambar) atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Zamri, ketika terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy, yang dihubungi berkata, arahan menghentikan program itu dikeluarkan oleh pihak atasan Prime Works atas sebab tertentu. Namun beliau tidak pula menafikan atau mengesahkan ia berpunca dari penyebaran gambar hosnya dalam perhimpunan Bersih itu.

“Pihak produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum.

“Program Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya lagi, memandangkan program tersebut telah mencapai satu rating yang baik, namun ia sedikit terjejas berikutan timbulnya perkara sebegini.

“Pada pandangan peribadi saya, seseorang yang bergelar ikon harus lebih berwaspada agar tidak terjadinya kejadian yang tidak diingini.

“Adalah wajar menjaga personaliti diri dan imej agar ia tidak memberikan sebarang perspektif tidak baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, program itu akan disiarkan semula cuma masih tidak mendapat tarikh yang baru.

“Berehat itu ada kalanya tidak mengambil masa. Namun, ia bergantung pada keputusan pihak atasan. Kadang-kadang cuma seminggu, ada juga yang tiga minggu. Semua itu bergantung pada keputusan mereka.

“Sebagai menggantikan program itu, ia digantikan dengan program Mari Bertarranum,” katanya.

Terima apa saja keputusan Ustaz Zamri


Sementara, Ustaz Zamri, berkata, dia sudah pun berbincang dengan pihak TV9 dan mengharapkan agar perkara itu tidak berlarutan.

“Saya telah dipanggil untuk berbincang dengan pihak TV9 beberapa hari selepas gambar itu tersebar. Alhamdulillah, kami berbincang secara mahabbah (aman). Apa sebenarnya yang berlaku pada 9 Julai itu sudah saya terangkan kepada mereka dan tidak perlu saya ceritakan kepada umum.

"Saya faham situasi ini. Mungkin ia nampak lebih berat apabila ia mendapat komen yang agak mendalam menerusi Facebook, saya sendiri tidak pasti mengenai hal ini dan terima apa sahaja keputusan,” katanya yang kini sedang menuntut pengajian dalam bidang tafsir Ulumul Quran di Universiti Antarabangsa Madinah, Malaysia.




Ulasan

Catatan Popular