14 Jul 2011

Kekerasan polis: Suhakam nafi kenyataan Tiong Lai
chedet14 Jul 2011 0 Komentar


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menafikan tindakan kekerasan pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Sebaliknya, pihak Suhakam sendiri turut melihat sendiri penggunaan kekerasan melampau pihak polis terhadap para peserta, apabila Suhakam dengan 35 orang pegawainya turut memantau perhimpunan tersebut.

Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah menegaskan, malah beliau sendiri yang turut turun ke perhimpunan itu bagi melakukan pemantauan turut melihat dengan jelas tindakan kekerasan pihak polis terhadap para peserta termasuk di lokasi yang dinafikan oleh Tiong Lai.

Menurut beliau, kenyataan Menteri Kesihatan yang mengatakan polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin di Jalan Pudu ketika menyuraikan perhimpunan itu tidak benar.

"Sebenarnya, pihak polis memang menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin. Saya sendiri telah lihat tindakan polis itu.

"Saya sendiri juga turut melihat tindakan kekerasan yang dilakukan polis semasa menangkap peserta. Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena penyerahan memorandum oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mengenai tindakan penggunaan kekerasan melampau pihak polis terhadap para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 di pejabat Suhakam, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga, merupakan satu pencabulan undang-undang.

"Mereka (polis) telah merancang untuk menahan mereka, tetapi ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.

“Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua mangsa supaya tampil ke depan dan mengemukakan aduan secara terus supaya pihak Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi.

Pada 11 Julai lalu, Menteri Kesihatan seperti yang dilaporkan media berkata, polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Dakwaan yang berlegar di internet berhubung tembakan ke arah hospital tersebut adalah tidak benar dan perkara itu telah disahkan dengan hospital berkenaan.

Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.

"Tetapi mereka tidak membidik ke arah hospital," katanya lagi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan lembaga pengarah Hospital Tung Shin pada hari itu (11 Julai) sambil menambah, polis juga membidik tembakan meriam air pada arah 45 darjah dari jalan utama.

Ditanya mengenai video dan gambar-gambar yang dimuatkan oleh pengguna web di internet, Liow meminta wartawan supaya jangan menunjukkan bahan berkenaan untuk menyoalnya semula.

"Apa yang paling penting, individu yang bertanggung jawab ke atas hospital telah mengesahkan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata atau meriam air ke dalam (perkarangan) hospital," kata Timbalan Presiden MCA itu lagi.

Dalam sidang media yang sama, pengerusi lembaga pengarah Tung Shin, Ng Beh Tong turut berkongsi pandangan menteri berkenaan.

Katanya, pentadbiran hospital itu telah memberikan taklimat kepada lembaga hospital pagi itu (11 Julai) berhubung insiden yang berlaku pada hari perhimpunan tersebut.

Dalam perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat ditahan. Kesemua mereka yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Selain Liow, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein seperti yang dilaporkan media, turut menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Muhammad menjelaskan, realiti sebenar tindakan kekerasan melampau pihak polis itu tidak boleh dinafikan lagi oleh sebarang pihak.

Malah beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas peserta perhimpunan itu tidak ubah seperti "orang yang tiada pelajaran".

“Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana, tetapi mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun.

“Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani,” tegas beliau. -HD
In Category :
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN WANGSA MAJU Blog Rasmi DPPWM Facebook dan Twitter

0 Komentar

Catat Ulasan

................................................................................................

SEBARANG INFAQ / DERMA BOLEH DISALURKAN KEPADA

AKAUN DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN WANGSA MAJU
No. Account : 564557122098
Bank : Maybank
Branch : Wangsa Maju

................................................................................................

Disclaimer

Disclaimer/ Penafian

The views expressed in the posts and comments of this blog do not necessarily reflect the Dewan Pemuda PAS Kaw. Wangsa Maju (DPPWM). They should be understood as the personal opinions of the author or commenter. Your words are your own, so be nice and helpful if you can.

Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di atas adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian dppwm.blogspot.com. DPPWM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.