ISU PUSAT HUBURAN KEDAH SELESAI

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Isu larangan ke atas pusat-pusat hiburan di Kedah agar tidak beroperasi sepanjang bulan Ramadan akan diatasi menggunakan “jalan penyelesaian yang mampu menggembirakan” semua pihak, kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak dipetik media tempatan hari ini.

Menteri Besar Kedah berkata pihak pentadbiran kerajaan negeri juga telah diarah supaya mencari jalan penyelesaian yang mampu menggembirakan semua pihak.

Menurut beliau, satu pertemuan dengan pengusaha pusat hiburan yang terlibat juga akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya fikir kita telah menemui satu jalan penyelesaian seperti menetapkan syarat-syarat tertentu dengan pengusaha pusat hiburan tidak membenarkan premis mereka dikunjungi mereka yang beragama Islam,” katanya.

“Semua ini akan ditentukan dalam perbincangan antara pentadbiran kerajaan negeri dengan pengusaha terbabit nanti,” katanya semalam yang turut menerima kunjungan wakil Dewan Perhimpunan Cina Kedah yang turut menyerahkan memorandum jawatankuasa penyelaras pengusaha hiburan mengenai isu berkenaan.

Azizan berkata, berikutan perkembangan terbaru itu, isu berkenaan boleh dianggap selesai dengan pihak yang terlibat hanya perlu menunggu arahan terbaru daripada pihak pentadbiran negeri selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha pusat hiburan dalam tempoh sehari dua lagi.

Mengenai kata dua yang diberikan DAP supaya PAS khususnya kerajaan negeri Kedah menarik balik larangan operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan, Azizan berkata, beliau tidak mahu menjawab mengenainya kerana tidak mahu perkara itu berlarutan.

Ulasan

Catatan Popular