FILEM BERSIH 2.0 BAKAL DITAYANGKAN DI PAWAGAN : IGP

Tan Sri Ismail Omar mengumumkan polis hampir melengkapkan siasatan berhubung dakwaan mengenai pendekatan keras pihaknya ketika menangani perhimpunan Bersih 2.0 dan penemuan akan diumumkan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara mahu orang ramai tidak membuat spekulasi ataupun tanggapan mengenai insiden-insiden yang dilaporkan ketika perhimpunan tempoh hari di ibu negara.

“Saya sangat yakin laporan akan lengkap tidak lama lagi dan saya akan memanggil anda (organisasi media) ke sidang video. Kami akan menunjukkan video di sini bagi anda melihat,” katanya.

“Kami tidak mahu menyembunyikan apa-apa sebab orang ramai ada hak untuk mengetahui,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat polis di Bukit Aman petang ini.

Awalnya, Ismail tidak mahu kenyataan beliau direkodkan tetapi kemudian bercakap kepada pemberita atas permintaan mereka mengenai perkara tersebut.

Ismail memberi jaminan bahawa polis akan cuba sedaya upaya mereka untuk memastikan tiada aspek yang  disembunyikan ketika siasatan.

Malah Ismail juga berkata, enam jawatankuasa yang telah ditubuhkan akan menyiasat kesemua aspek mengenai perhimpunan 9 Julai termasuk temu bual dengan pegawai-pegawai polis yang bertugas pada hari tersebut, menemu bual orang ramai dan saksi, penelitian secara mendalam berkenaan kesemua gambar dan video yang diambil.

Sehubungan itu, Ismail menggesa orang ramai tampil dengan maklumat jika ada untuk membantu siasatan.
“Saya menggesa orang ramai, jika mereka ada gambar, video daripada kamera atau telefon bimbit... serahkan kepada polis, jadi kita boleh kaji dan menilai setiap yang berlaku untuk membuat rumusan kami,” katanya.

Menurut Ismail, pihaknya telah memulakan siasatan minggu lalu dan bekerja sepanjang masa untuk melengkapkan hasil siasatan.

Ulasan

Catatan Popular