Bisa Norshahrul, Safee ditagih
azlanmz@hmetro.com.my
GANDINGAN dua penyerang berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali akan menjadi senjata pemusnah apabila menentang Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia pada 23 dan 28 Julai ini.
Kedua-dua pemain yang menjadi tonggak Harimau Malaya untuk memenangi Piala AFF pada penghujung tahun lalu itu tidak beraksi bersama pada dua perlawanan menentang Taiwan di pusingan pertama berikutan kecederaan yang dialami mereka.
Norshahrul mengalami hamstring sejak dua minggu lalu dan terlepas aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, minggu lalu sekali gus memaksa Mohd Safee bergandingan bersama Baddrol Bakhtiar di jentera serangan.
Manakala pada aksi timbal balik di Taipei, malam kelmarin giliran Mohd Safee pula mengalami kecederaan dan menjadi penonton dengan Norshahrul bergandingan bersama Abdul Hadi Yahaya.
Namun Mohd Safee yang juga penyerang Pelita Jaya FC menyatakan, dia bakal kembali pulih sepenuhnya apabila menentang Singapura sekali gus menghadirkan khabar gembira kepada ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal.
“Saya berkeyakinan tinggi akan kembali cergas apabila menentang Singapura. Walaupun ranking mereka lebih tinggi saya yakin kami akan mendapat keputusan positif,” kata penyerang berusia 27 tahun itu.
Manakala bagi Norshahrul yang tetap turun beraksi malam kelmarin walaupun dilihat masih belum cergas sepenuhnya bakal mendapat kembali sentuhan terbaiknya dalam masa terdekat.
Baginya tempoh yang panjang untuk membuat persiapan menentang Singapura selepas aksi terakhir Liga Super malam esok akan memberikan kelebihan kepada Harimau Malaya.
“Saya jangka kami akan mendapat persefahaman yang lebih baik lagi seperti ketika menjulang Piala AFF tempoh hari. Sukar untuk mendapatkan kembali rentak itu kerana latihan pusat berlangsung dalam tempoh yang singkat,” kata penyerang Kelantan itu.
Jentera serangan Harimau Malaya kelihatan tumpul ketika menyingkirkan Taiwan apabila kedua-dua pemain itu tidak bergandingan selain harapan disandarkan kepada pemain yang masih kurang pengalaman di pentas antarabangsa seperti Abdul Hadi dan Ahmad Fakri Saarani.
Malah empat gol dihasilkan daripada dua aksi menentang Taiwan pada pusingan pertama adalah menerusi kapten negara yang juga perancang bahagian tengah, Mohd Safiq Rahim serta pemain pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.
Malaysia dijadual bertandang ke Singapura pada 23 Julai menentang skuad bimbingan Radojko Avramovic di Stadium Jalan Besar sebelum kembali ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk aksi timbal balik pada 28 Julai.
Ulasan
Catat Ulasan