BAJU BERSIH TETAP HARAM: TANGKAPAN PERTAMA DI SABAH

Ingatkan selepas 9 Julai lalu larangan memakai atau memiliki baju Bersih sudah menjadi halal, namun sebaliknya apabila Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu menjadi individu pertama ditahan polis setelah tamatnya perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur semalam.

Beliau ditahan pada jam 5 petang semalam di sebuah restoran pinggir bandar Kota Kinabalu kerana memakai baju BERSIH dan cuba mengedarkan 20 helai lagi kepada rakan-rakannya.

Menurut Lahirul (kiri), polis menyiasatnya mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Katanya, beliau dibawa ke balai polis Karamungsing, dekat pusat bandar Kota Kinabalu di mana beliau bermalam dan kenyataannya dirakamkan.

"Mereka (polis) sudah ambil keterangan dari saya, 18 Julai diminta untuk lapor diri ke balai dan sekarang dilepas dengan jaminan polis," kata Lahirul.

Dalam soal siasat, polis banyak mengemukakan soalan berkaitan pemakaian baju-T BERSIH.

Lahirul juga berkata, polis turut membawanya pulang dalam keadaan bergari untuk menggeledah rumahnya di Sepanggar - kira-kira 15km dari pusat bandar Kota Kinabalu - pada jam 8.30 malam.

"Dalam tangan bergari saya dibawa ke rumah untuk digeledah. Lalu polis menjumpai kotak bekas baju BERSIH yang tertera alamat rakan saya.

"Tanpa waran, polis terus pergi mengeledah rumahnya walaupun dalam rumah tersebut ada orang gaji," dakwanya yang merasa terkilan kerana digari di hadapan anak dan isterinya.

Keretanya kini masih dalam simpanan pihak polis, tambahnya.

Ulasan

Catatan Popular