3 TAHUN DR' LO' LO DISEGANI KAWAN & LAWAN

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Sejak berita kematian muncul lewat malam tadi, mesej menerusi Twitter tidak putus-putus dihantar oleh pelbagai pihak, tidak kira fahaman politik.

Meskipun Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali merupakan wakil rakyat kerusi Parlimen Titiwangsa dari PAS, namun mesej mengucapkan takziah turut diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Salah seorang daripada mereka, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno antara lain menyifatkan Dr Lo’ Lo’ sebagai “antara MP wanita yg bersuara, bernas di Dewan Rakyat. Al-Fatihah.”

Berita kematian beliau juga menarik perhatian Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut mengucapkan takziah sambil berkata sumbangan dan jasa Dr Lo’ Lo’ akan sentiasa dikenang.

Wakil rakyat BN dari Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud dalam laman Twitter berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang “pemimpin yang baik selain berpidato secara berhemah (di Dewan Rakayt) dan bertanggungjawab.”

Beliau juga berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan kenalannya dan pemergian bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS itu amat dirasai.

Selain itu, dalam satu laman Twitter yang dinamakan “premesh” berkata, Dr Lo’ Lo’ merupakan antara individu yang memainkan peranan besar untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS.

Allahyarhamah merupakan antara dua wakil rakyat daripada kalangan doktor, memenangi pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Namun bagi Pakatan Rakyat terutamanya PAS, pemergian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar sambil menyifatkan wakil rakyat penggal pertama itu sebagai “sebutir permata yang sangat bernilai dan tidak boleh diganti.”

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang individu yang tegas, tabah dan cekal dalam perjuangan terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat.

“Kematian beliau (Dr Lo’ Lo’) adalah satu kehilangan yang cukup besar kepada PAS terutamanya Dewan Muslimat kerana beliau diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang yang cukup tegas dan gigih.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan juga kepada rakyat di (Parlimen) Titiwangsa kerana kehilangan pemimpin yang disegani,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Dr Lo’ Lo’ di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

“Sepanjang persahabatan saya, beliau adalah seorang pemimpin yang baik, tegas, berdisiplin dan sentiasa menghadapi cabaran dengan hati terbuka.

“Beliau adalah pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat... beliau juga ada berpesan supaya meneruskan mana-mana perjuangan yang belum selesai terutamanya isu Kampung Baru yang diperjuang beliau selama ini,” kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Exco kerajaan negeri Selangor yang juga exco Dewan Muslimat PAS Dr Halimah Ali berkata, Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang teguh berpegang kepada prinsip perjuangan demi rakyat.

“Bagi saya beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip, beliau bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, tapi beliau adalah pemimpin yang bercakap atas dasar fakta dan apa yang beliau mahu katakan akan dikaji terlebih dahulu.

“Beliau bukan sahaja boleh diibaratkan sebagai sebutir permata tetapi seorang pejuang yang berilmu, apa yang beliau lakukan adalah demi rakyat bahkan semasa sakit pun beliau tetap gagahkan diri untuk bersama dengan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang, bukan sahaja pengorbanannya, malah leterannya diibarat sebagai “seorang ibu” dalam menjalankan tugasnya akan terus dirindui.

“Bukan hanya penduduk Titiwangsa, ahli dan penyokong PAS dan gagasan Pakatan Rakyat yang terasa kehilangan satu permata, tetapi saya selaku sahabat ahli Parlimen, masih terasa kata-kata rangsangan, nasihat dan motivasi yang disampaikan arwah dalam bentuk leteran.

“Beliau tampil dalam memberi khidmatnya seperti seorang ibu kepada anak-anak (rakyat) dalam bentuk leteran kerana bagi saya leteran itu sangat bermakna untuk kita bekerja lebih kuat,” katanya.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan jasa beliau kepada parti dan masyarakat akan terus dikenang, malah perjuangan beliau dalam isu tanah Kampung Baru akan terus kami perjuangkan,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sumbangan Dr Lo’ Lo’ kepada parti dan rakyat akan terus diperjuangan parti Islam itu.

“Saya merasakan satu kehilangan besar kerana jasa dan perkhidmatan beliau, malah sumbangan beliau ini akan dikenang sepanjang zaman.

“Beliau seperti sebutir permata yang berharga, beliau juga seorang pemimpin yang tegas, berpegang kepada prinsip dan sentiasa kental dalam memperjuangkan nasib rakyat walaupun berada dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Dr Lo’ Lo’ aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya ke atas kawasan Parlimen Tititwangsa yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Menurut Ahli Parlimen Subang dari PKR Sivarasa Rasiah, beliau memahami penderitaan yang dihadapi Dr Lo’ Lo’ kerana turut menderita kanser lebih 10 tahun lalu.

“Bila saya mendapat tahu mengenai kematian beliau, saya rasa sangat sedih kerana saya dan beliau ada persamaan... saya juga pernah menderita kanser lebih 10 tahun lalu tapi kanser yang dihadapi beliau lebih teruk.

“Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang dihormati di Parlimen, beliau bukan sahaja dihormati pimpinan Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) juga,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kematian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar kepada penduduk di Kampung Baru.

“Selama ini beliau memperjuangkan isu Kampung Baru dan ia satu kehilangan yang besar kepada kami.
"Beliau juga antara pemimpin yang lantang bersuara di Parlimen,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular