SUHAKAM DESAK KERAJAAN SELANGOR, MBPJ & PEMAJU HENTIKAN ROBOH RUMAH

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Suhakam menggesa semua pihak termasuk kerajaan negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak pemaju Peter’s Brickworks Sdn Bhd menghormati hak rakyat dan menghentikan segera tindakan meroboh rumah penduduk PJS1, Petaling Jaya.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, suruhanjaya yang diwakili oleh Pesuruhjaya Muhammad Sha’ani Abdullah dan beberapa pegawai telah melawat kawasan rumah panjang di PJS1 semalam untuk memantau aktiviti perobohan secara paksa tiga buah rumah setinggan yang masih belum berpindah kerana tidak memiliki rumah seperti yang dijanjikan.

“Ketika lawatan, kami difahamkan kerajaan negeri telah mengeluarkan notis pembekuan kerja pembangunan terhadap pemaju berkuat kuasa Isnin lalu sehingga masalah penempatan serta sekolah selesai.

“Namun kami dimaklumkan, pihak pemaju masih ingin meneruskan kerja-kerja perobohan tanpa menghiraukan notis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, peneroka bandar di kawasan PJS1 telah ditempatkan di rumah panjang semenjak 2003 untuk memberi laluan kepada pembangunan atas tanah persendirian oleh Peter’s Brickworks yang mana mereka juga telah dijanjikan rumah.

Projek berkenaan berdepan masalah dan tidak boleh diteruskan apabila penduduk sekitar tapak pembinaan memfailkan bantahan di mahkamah.

Namun, baru-baru ini mahkamah telah membenarkan syarikat berkenaan meneruskan projek meskipun ada tiga keluarga setinggan yang enggan berpindah kerana masih lagi tidak memiliki rumah yang dijanjikan.

Ahad lalu, kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan MBPJ supaya mengeluarkan perintah pembekuan kerja pembinaan projek pangsapuri di PJS1 kepada Peter’s Brickworks sehingga dua isu utama diatasi.

Selain itu, beliau juga menyifatkan tindakan pemaju tersebut tidak prihatin kerana mahu meneruskan perobohan rumah yang mana ia merupakan satu tindakan menyalahi hak asasi manusia.

Justeru, beliau menggesa pihak pemaju dapat memberi jaminan dengan menyediakan perumahan alternatif yang tetap dan mampu dimiliki sebelum sebarang tindakan perobohan dilakukan.

*Sebahagian daripada kain rentang protes di kawasan perumahan rumah panjang PJS1. — Foto ihsan Suhakam

Ulasan

Catatan Popular