PERKASA 'NOTHING WHAT-WHAT' - MAT SABU

KLANG, 16 Jun — Pakatan Rakyat menyifatkan langkah Perkasa yang mahu mengadakan perarakan balas serentak dengan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini tidak akan memberi sebarang ancaman terhadap gerakan menuntut pilihan raya adil dan bebas itu.


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) berkata, Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tetap diteruskan sambil menyifatkan Perkasa sebagai “perkara kecil.”

“Perkasa ini perkara kecil sahaja, tiada apa-apa akan berlaku... kita bukan timbulkan apa-apa pun.

“Bagi pihak Bersih kita hanya mengadakan perhimpunan aman, tiada apa-apa provokasi, tapi kita minta agar polis mengawal keselamatan,” katanya selepas pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Selangor di Dewan Hamzah di sini malam tadi.

Himpunan Bersih 2.0 mendapat tentangan pihak pro- Barisan Nasional (BN). Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali memutuskan untuk mengadakan perarakan balas serentak pada hari yang sama.

Ibrahim berkata pihaknya akan menganjurkan protes balas bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 selain mendakwa ia akan menimbulkan huru-hara.

Justeru tegas Mohamad, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Perkasa, namun mempersoalkan mengapa perlu diadakan pada hari yang sama dengan Himpunan Bersih 2.0.

“Mengapa mesti hari yang sama? Perkasa boleh pilih tarikh lain... inikan negara demokrasi.

“Jadi, saya minta agar polis dapat mengawal keselamatan dan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengundang perkara-perkara tidak diingini,” katanya.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berkata, Himpunan Bersih 2.0 yang bertemakan “Walk For Democracy” akan diadakan secara santai tanpa menimbulkan sebarang ketegangan.

Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS pusat ini menambah Himpunan Bersih 2.0 bukan gerakan parti politik tapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut pilihan raya adil dan bebas.

“Jadi saya minta peserta yang hadir hanya membawa bendera Malaysia dan bendera negeri bukan bendera parti politik . . . slogan juga mesti slogan Bersih 2.0, jangan bawa senjata, kalau ada provokasi jangan dilayan sebab kita berhimpun secara santai.

“Tujuan kita bukan nak kecam sesiapa tapi hanya mahukan pilihan raya yang adil dan bebas, kalau tiada perubahan negara akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular