NANTIKAN BUKU HIJAU

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Buku Hijau, yang bakal memperincikan konsep negara berkebajikan PAS, akan menjadi pelengkap kepada Buku Jingga Pakatan Rakyat yang diterima komponen-komponen perikatan itu Disember lalu.

Buku Jingga antara lain menggariskan program 100 Hari yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.

Khamis lalu, PAS menubuhkan satu panel khas pelaksana yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan dalam bentuk Buku Hijau untuk dijelaskan kepada rakyat negara ini.

Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Buku Hijau yang akan diedarkan ke seluruh negara dalam masa terdekat tidak bercanggah dengan keputusan bersama Pakatan Rakyat yang diterjemahkan dalam Buku Jingga.

Sebaliknya kata Salahuddin (gambar) yang juga pengerusi panel khas pelaksana itu, Buku Hijau negara berkebajikan itu akan menjadi pelengkap kepada Buku Jingga.

“Tidak... tidak... ia (Buku Hijau) akan menjadi satu nilai tambah dan ia sama sekali tidak bercanggah dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

“Apa yang ada dalam Buku Jingga itu adalah ciri-ciri penting negara berkebajikan dan Buku Hijau ini akan menjadi pelengkap, gandingan dua buku ini akan memperkukuhkan antara satu sama lain,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Buku Hijau dirangka supaya rakyat memahami negara berkebajikan yang mahu dibawa parti Islam itu yang mendapat kritikan hebat oleh Umno.

“Kalau kita lihat respons yang diberikan rakyat terhadap Buku Jingga dan negara berkebajikan, ia sangat menarik dan menggamit rasa ingin tahu kandungan konsep itu.

“Jadi apabila buku ini dilancarkan kita berharap rakyat memahami dengan jelas akan konsep negara berkebajikan yang mahu kita bawa,” kata Salahuddin sambil menambah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menerbitkan sebuah buku tentang negara berkebajikan.

“Buku Hijau adalah sinopsis daripada buku yang akan dikeluarkan presiden,” tambah beliau.

Ulasan

Catatan Popular