KENAPA OMARDIN SI OKU TAK DIAMBIL TINDAKAN?

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Omar Din Mauju, mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) yang mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi dan berunsur ugutan bertujuan menghalang Himpunan Bersih 2.0.

Beliau berkata sikap yang ditunjukkan oleh seorang ‘mahaguru’ ini tidak langsung mencerminkan ‘kebersihan’ peribadi dan amaran seperti ini sewajarnya diambil serius oleh pihak polis.

“Sebaliknya pihak polis mengenakan tekanan terbuka dan gangguan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan juga badan- badan bukan kerajaan yang mempromosikan kebebasan bersuara secara aman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam satu sidang media semalam, di antara lain Omar Din berkata, sejuta ahli persatuan silat akan turun padang bagi membanteras sekeras-kerasnya Himpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai ini.

Nurul berkata, beliau kesal dengan kenyataan bercorak provokasi dan ugutan yang datang daripada seorang ‘mahaguru’.

“Sewajarnya sebagai seorang ‘mahaguru’ menampakkan ‘kebersihan’ peribadi diri dan bukan memberikan amaran yang menjurus kepada provokasi sebelum sesuatu himpunan diadakan.

“Tambahan lagi, seorang ‘mahaguru’ sebenar tentunya boleh mengawal anak-anak buahnya sebelum melemparkan cabaran atau arahan kepada pihak luar,” katanya.

Ujar beliau, “saya yakin dan percaya, Himpunan Bersih adalah himpunan yang tentunya akan selamat jikalau tindakan-tindakan provokasi seperti yang dilakukan oleh Pertubuhan Silat ini dihentikan serta merta.

“Marilah kita berlagak lebih sebagai pendekar yang bertanggungjawab selaku khalifah di bumi Allah ini, bukannya pengecut yang lebih suka mengeluarkan ugutan kepada mereka yang mungkin berlainan fikrah atau pandangan daripada kita,” tambah Nurul - Free Malaysia Today

KENYATAAN MEDIA NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
[UNTUK EDARAN SEGERA]
29 JUN 2011

Ulasan

Catatan Popular