PEKERJA RESTORAN DAKWA DIPUKAU... RUGI RM11K....BOLEH CAYA KE?

KAJANG: Seorang kakitangan sebuah restoran kerugian lebih RM11,000 selepas dipukau dalam kejadian di sebuah bank di Tanming Jaya, di sini kelmarin.


Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari restorannya di Jalan Duta Mas ke bank berkenaan untuk memasukkan wang keuntungan jualan, namun dipukau seseorang tidak dikenali sebelum menyerahkan wang dalam sampul itu dalam keadaan tidak sedar.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 32, berkata, dia ditugaskan memasukkan wang keuntungan jualan ke dalam bank setiap hari.

Katanya, penyelia restoran menyerahkan wang itu di dalam sampul kepadanya dan sebaik tiba di bank itu, dia terus dipukau.

“Saya tidak sedar langsung dan tidak tahu sama ada lelaki atau perempuan yang memukau hingga sanggup menyerahkan sejumlah wang kepada mereka.

“Saya hanya ingat wang jualan itu diberi penyelia di dalam satu sampul dan saya perlu memasukkan wang itu ke dalam bank seperti biasa, namun nasib malang menimpa apabila dipukau orang tidak dikenali,” katanya di sini, semalam.

Roslan berkata, dia hanya menyedari kehilangan wang itu pada waktu petang selepas penyelianya meminta resit bank.

“Pada masa itu, kepala saya pening dan berada dalam keadaan bingung sebelum menyerahkan sekeping kertas kepada penyelia saya yang kemudian terkejut kerana keadaan saya tidak terurus.

“Berikutan keadaan saya, penyelia itu menyuruh saya pulang berehat, namun hingga kini saya masih kebingungan dan tidak mampu mengingati apa yang terjadi,” katanya yang berharap individu tidak bertanggungjawab ditangkap.

Menurutnya, dia tidak dapat mengingati apa-apa dan kini masih dalam keadaan bingung dan tidak terurus kerana memikirkan kejadian itu.

Katanya, laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat di Balai Polis Batu 9, Cheras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan laporan dan siasatan sedang dijalankan.

* gambar hiasan

Ulasan

Catatan Popular