PAK MENTERI JAWAB : ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN BUKAN AGAMA RASMI

Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara, kata peguam Syahredzan Johan ketika kontroversi tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.


Akhbar milik Umno itu dan beberapa kumpulan Melayu-Muslim termasuk pemimpin-pemimpin Umno sendiri menekankan pandangan bahawa undang-undang tertinggi negara mengisytiharkan Islam sebagai agama “rasmi” dan hanya Muslim boleh menjadi perdana menteri.

Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam berkata, tafsiran undang-undang oleh Utusan Malaysia adalah salah dan mengingatkan bahawa langkah akhbar harian itu sebagai “tanggapan salah yang bahaya”, yang boleh membawa negara ke arah rusuhan agama dan sosial.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.

“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi semalam.

Beliau merujuk kepada Artikel 3 yang menyebut bahawa “agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai Persekutuan di mana-mana bahagian Persekutuan” dan menekankan bahawa perkataan “rasmi” tidak pernah disebutkan di mana-mana bahagian.

Syahredzan berkata, seksyen dalam Perlembagaan mesti ditafsir bersama Artikel 11, di mana setiap orang ada hak untuk mengamalkan agama masing-masing dan tertakluk kepada Klausa (4) yang mana berkaitan dengan Islam - untuk menyebarluaskannya.

“Kita kena faham terminologi yang betul untuk digunakan apabila kita bercakap apa sahaja berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Beliau menambah, “setiap orang, daripada kalangan menteri sehinggalah NGO, malah sehingga blogger mengatakan macam-macam, yang menunjukkan mereka tidak tahu apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Ulasan

Catatan Popular