ISU ROYALTI : PUSAT NAK MENCELAH

PUTRAJAYA, 26 Mei – Kerajaan negeri Kelantan gagal dalam rayuan untuk menghalang kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petronas berhubung royalti minyak.


Panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan bahawa kehadiran kerajaan persekutuan dalam saman sivil adalah perlu bagi memastikan perkara yang menjadi pertikaian dalam kes itu benar-benar diputuskan.

Dipetik laporan Bernama, kata beliau, panel hakim berpuas hati bahawa ada isu berbangkit daripada relif yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan dan ia “adil dan sesuai” bahawa isu-isu itu ditentukan antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas.

“Kami dapati tiada merit dalam rayuan kedua kerajaan negeri, “ kata Hakim Low dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kerajaan persekutuan untuk menjadi pencelah dalam saman itu.

Panel hakim itu terdiri daripada Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak rayuan kedua kerajaan negeri dan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi bahawa saman itu dibicarakan di Mahkamah Sivil Baru (NCvC), dan bukan di Mahkamah Komersial baru (NCC) di mana saman itu difailkan.

Kerajaan negeri menyaman Petronas kerana didakwa melanggar kontrak berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada kerajaan negeri berhubung royalti minyak.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri menuntut supaya Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum dikeluarkan di pesisir Kelantan seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Petroleum.

Sebelum itu, Thomas berhujah bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai kepentingan dalam saman sivil itu kerana tuntutan dan relif yang dituntut kerajaan negeri itu adalah terhadap Petronas.

Katanya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 menetapkan bahawa Petronas menerima 90 peratus daripada pembayaran tunai dan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing menerima lima peratus daripada pembayaran tunai bagi petroleum yang diperolehi di pesisir dan di luar pesisir.

Ulasan

Catatan Popular