ISA KAN EDITOR UTUSAN : HATA WAHARI


SHAH ALAM 12 MEI : Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari mencadangkan satu tindakan tegas dikenakan ke atas pengarang berita yang tidak mengamalkan etika kewartawanan dalam menyampaikan isu semasa supaya didakwa di mahkamah atau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ini kerana, berita-berita yang mengandungi unsur fitnah dan hasutan dengan mudah boleh membakar sentimen rakyat yang akhirnya menjejaskan keharmonian negara.

Oleh yang demikian, Hata yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu berpendapat, adalah wajar individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita berunsur provokasi ini dikenakan hukuman setimpal.

"Sebenarnya tindakan lebih keras patut diambil dan memastikan editor yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran berita-berita tersebut, bukan sahaja didakwa di mahkamah atas Akta Fitnah tetapi patut ditahan di bawah Akta ISA kerana cuba mencetuskan pergolakan perkauman dan keagamaan di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia Sabtu lalu bertajuk "Kristian agama rasmi?" yang menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Laporan yang dipetik Utusan daripada dua laman blog pro Umno itu kemudiannya mengundang komentar dari menteri termasuk Perdana Menteri yang seolah-olah memperakui laporan Utusan Malaysia tanpa menyiasat terlebih dahulu kesahihannya.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada sebarang bentuk tindakan dikenakan atau diambil ke atas Utusan, mahu pun blogger terbabit.

Senario ini bagaimanapun berbeza apabila lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan dibekukan permit setelah menyiarkan berita berkaitan salah satu agensi kerajaan.

"Saya menyokong tindakan kerajaan Pulau Pinang agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Utusan atas laporan yang tidak bertanggungjawab dan mengenepikan prinsip-prinsip kewartawanan itu sendiri," tambahnya yang bersetuju dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang meminta KDN mengambil tindakan tegas ke atas Utusan.

Malah menurut Hata bukan sahaja kerajaan Pulau Pinang yang meminta KDN mengambil tindakan terhadap Utusan, tetapi banyak lagi pihak lain termasuk NUJ akan berbuat demikian kerana tindakan melampau Utusan yang kerap bermain dengan isu agama dan perkauman.

Jelasnya lagi, Utusan kini semakin jelas tersasar daripada landasan yang sepatutnya dalam memberi informasi yang berguna kepada rakyat, sebaliknya pula meniup api kemarahan rakyat dengan memainkan isu-isu sensetif sebegini.

"Kita mempersoalkan bagaimana sebuah akhbar bertindak sebagai tidak bertanggungjawab dan mengenepikan kepentingannya kepada orang ramai?

"Sekiranya KDN terus diam membisu tanpa mengambil tindakan tegas terhadap Utusan maknanya mereka sebenarnya menyokong apa-apa tindakan yang dilakukan oleh editor-editor Utusan ini," katanya lagi.

Jelas Hata, tindak tanduk Utusan melalui laporannya yang hanya mahu memastikan orang Melayu terus menyokong Umno-BN dengan mencetuskan kemarahan rakyat hanya mendatangkan implikasi buruk kepada negara.

Semalam kerajaan negeri Pulau Pinang telah memfailkan aduan rasmi mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap Utusan Malaysia ekoran laporan yang mengaitkan DAP dengan konspirasi Kristian.

Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.


Read more: http://kedah-online.blogspot.com/#ixzz1M6wINbnS

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular