“Bila saya datang, ada yang tengok perut saya... ini celaka punya Umno,”

 Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan siri jelajahnya dengan malam tadi menuduh Umno “memperbodohkan” rakyat negara ini terutamanya orang Melayu melalui “pembohongan” semata-mata untuk berkuasa.

Berucap pada ceramah perdana isu-isu semasa di sini malam tadi, beliau berkata, Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam keadaan semakin terdesak terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13. Anwar meramalkan pilihan raya umum ke-13 tahun ini, sebelum bulan Ramadan.

“Bila saya datang, orang tengok muka saya... ada yang tengok perut saya... ini celaka punya Umno,” katanya secara berseloroh.

Seterusnya Ketua Pembangkang itu bertanya, mengapa apa pimpinan Umno cemas. “... sebab apa Najib tuduh saya macam itu? Ini budaya apa? Budaya Melayu? Budaya Cina? Budaya India? Budaya apa ini?... budaya Najib.

“Sebab apa dia serang (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat)? Sebab apa serang (Datuk Seri) (Abdul) Hadi (Awang)? Sebab apa mereka serang saya? Ini sebab mereka berasa cemas,” katanya di hadapan kira-kira 3,000 orang di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di sini.

Tegas Anwar (gambar), rakyat terutamanya orang Melayu “diperbodohkan” dengan tindakan Umno yang mempergunakan media bagi mengelakkan segala kelemahan mereka terbongkar.

“Kenapa saya kata rakyat diperbodohkan? Media kita dikongkong, adakah rakyat tahu masalah ekonomi negara? Tidak... adakah rakyat tahu masalah-masalah yang dihadapi negara? Sudah tentu tidak.

“Sebab itu, saya kata rakyat perlu buat perubahan, orang muda kena ikut trend... orang muda kena berfikiran terbuka... berfikiran bebas untuk menjatuhkan pemimpin yang zalim, rasuah dan mengawal semuanya,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR itu, sekiranya Umno masih berkuasa segala masalah atau penyalahgunaan kuasa yang berlaku tidak akan diketahui rakyat termasuk kes jenayah dan rasuah.

“Kalau sokong Umno, kes bunuh... kes rasuah... kes rogol, semua akan tutup kes.

“Tapi kalau kita tidak bersetuju dan tentang mereka, yang tidak ada akan mereka adakan (ciptakan)... jangan bagi maklumat kepada rakyat, Umno anggap rakyat bodoh,” katanya.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular