AJAL LEPAS BAGI NYAWA

PORT DICKSON: Seorang lelaki menyelamatkan tiga mangsa lemas di Pantai 2 Telok Kemang, di sini, kelmarin, menemui ajal sejurus memberi bantuan pemulihan pernafasan (CPR) kepada seorang mangsa.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Zulkifly Hamzah, 43, rebah sebaik selesai memberi bantuan pernafasan kepada seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang lemas ketika mandi di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata ketika kejadian, pantai berkenaan tiba-tiba dilanda air pasang menyebabkan tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Kemang lemas.

“Zulkifly yang kebetulan membantu ibunya berniaga di kawasan pantai mendengar tiga murid lelaki menjerit meminta tolong dan terus terjun ke laut bagi menyelamatkan mereka.

“Pengunjung lain yang menyedari kejadian itu turut berusaha menyelamatkan dua lagi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sejurus memberi CPR kepada seorang daripada murid berkenaan, Zulkifly rebah dan tidak sedarkan diri di situ.

Orang ramai yang melihat kejadian bergegas membawanya dan murid yang lemas itu ke Hospital Port Dickson (HPD), namun Zulkfily meninggal dunia dalam perjalanan ke HPD.

Ulasan

Catatan Popular