PENDUDUK KG BARU BOLEH CABAR NONG CHIK : AZIZ BARI

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Pakar perundangan Prof A. Aziz Bari berkata pemilik tanah Kampung Baru boleh mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di mahkamah bagi membuktikan majoriti pemilik tanah di kawasan itu bersetuju dengan cadangan mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010.


Aziz berkata sehingga hari ini Raja Nong Chik masih belum membuktikan secara bertulis majoriti bahawa pemilik tanah bersetuju dengan cadangan tersebut, namun berkata hampir 90 peratus telah bersetuju dengannya.

“Isunya sekarang hak penduduk untuk kekal di situ, dengan cara hidup mereka. Ini adalah isu besar dan kerajaan tidak boleh melalui Parlimen meluluskan rang undang-undang ini.

“Rang undang-undang ini tak perlu, ia adalah kehendak rakyat bukan keputusan kerajaan maknanya kerajaan kena akur dengan kehendak rakyat,” katanya.

Kata beliau, lainlah kalau kerajaan boleh membuktikan majoriti bersetuju.

“Itu lain cerita, tapi ia susah nak buat... adakah ada kajian yang dibuat? Kalau kata 90 peratus setuju tapi adakah ia sahih, adakah ia betul?

“Jadi penduduk boleh membawa masalah ini ke mahkamah untuk cabar buktikan kesahihan perkara itu,” katanya .

Cadangan untuk mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 mendapat tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Raja Nong Chik bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang akan akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini.

Jelas Aziz, sebarang cadangan mengenai sesebuah kawasan termasuk Kampung Baru perlu terlebih dahulu dibincangkan dengan pemilik sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh menimbulkan persoalan.

Ulasan

Catatan Popular