Himpunan anti-Gaddafi selepas solat Jumaat hari ini di Kedutaan Libya diketuai Mohamad Sabu

Pakatan Rakyat akan membuktikan solidariti bersama rakyat Libya yang menentang pemimpin diktatornya, Muammar Gaddafi dengan mengadakan perhimpunan aman di luar kedutaan Libya di Jalan Madge, Ampang, Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat.


Sekurang-kurangnya 500 penyokong, termasuk pelajar Libya yang menuntut di negara ini dan kakitangan kedutaan berkenaan akan mengambil bahagian. Ketua biro antarabangsa PAS, Syed Azman Syed Ahmad berkata satu memorandum juga akan dihantar kepada duta Libya bagi menuntut pemberhentian serta merta pembunuhan orang awam.

Perhimpunan itu dijadualkan pada jam 2.30 petang selepas solat Jumaat dan dijangka berlangsung selama sejam. Beberapa NGO juga dijadualkan akan mengambil bahagian. Menurut Syed Azman, duta Libya ke Malaysia juga kemungkinan besar akan menyertai perhimpunan di luar kedutaannya itu.

Ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu pula meminta semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dengan berkumpul di luar pejabat kedutaan Libya. "Semua orang patut hadir esok bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap keganasan dan pembunuhan penunjuk perasaan yang tidak berdosa,” kata Mohamad.

Selasa lalu, pegawai kedutaan Libya di Kuala Lumpur menyertai rakan-rakan mereka di seluruh dunia membidas Gaddafi kerana pembunuhan ramai rakyat yang mengambil bahagian dalam protes di negara itu. Mereka membakar potrait diktator yang telah berkuasa lebih empat dekad lalu pada protes lebih dua jam itu sebelum diarahkan oleh polis supaya bersurai.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular