HARUSSANI KECEWA DENGAN UTUSAN MALAYSIA... APA CITA?

Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau hanya berdiam diri dan tidak bersuara berhubung pendedahan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Mufti Perak itu menegaskan, sejak rakaman video seks itu didedahkan awal minggu lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan pendedahan itu telah mengaibkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

“Siapa kata saya tidak bersuara? Siapa kata saya tidak ada cakap apa? Sejak hari pertama lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini dan bagi saya rakaman video seks itu telah mengaibkan Anwar kerana tidak saksi yang boleh buktikan.

Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar,” katanya.

Kata Harussani, rakaman video seks itu boleh dianggap sebagai fitnah dan dosa besar kerana hukuman telah dijatuhkan terlebih dahulu terhadap Anwar tanpa bukti yang sahih.

“Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.

“Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar,” katanya.

Awal minggu ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama sebagai “syaitan bisu” kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Anwar itu.

Menurut Harussani, rakaman video seks itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti.

Ini kerana, jelas beliau, menurut perundangan Islam mana-mana jenayah yang membabitkan seks perlu mempunyai empat adil yang menyaksikan peristiwa itu berlaku termasuk perbuatan zina.

“Yang dilihat dalam rakaman video seks itu tidak boleh pakai, ia tidak boleh dijadikan bukti kerana ia boleh diubah atau dimanipulasikan.

“Kalau nak jatuhkan hukuman kita kena ada empat saksi yang benar-benar lihat dengan mata sendiri peristiwa itu berlaku bukan melalui gambar atau video.

“Kalau bawa ke mahkamah, video seks itu tetap tidak boleh dijadikan bukti kerana ia hanya rakaman dan menurut hukum syarak tetap kena ada empat saksi dan kalau tidak kita tidak boleh nak jatuhkan hukuman,” katanya.

Ulasan

  1. syabas kpd tan sri harussani. elok juga kalau tan sri harussani ada blog atau facebook.

    drp pemuda ampang

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular