APA ADA HAL INJIL BAHASA MELAYU : PUM

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata langkah kerajaan mengeluarkan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang dirampas Kementerian Dalam Negeri di Kuching dan Pelabuhan Klang adalah keputusan bijak dan tidak wajar dihalang menggunakan terbitan itu.


Menurut Yang Dipertua PUM Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir, pihaknya tiada halangan dengan keputusan terbaru kerajaan ini kerana Bahasa Malaysia milik semua rakyat Malaysia termasuk yang beragama Kristian.

“Ia bagus, bagi saya ia tiada masalah dan saya juga boleh membaca kitab Injil itu kalau ada.

“Kita di Malaysia ini Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan rakyat kita terdiri daripada pelbagai latar belakang... ada yang Islam, ada yang Kristian, ada yang Buddha dan ada yang Hindu dan banyak lagi.


Beberapa pihak termasuk PAS berpendapat tidak wajar kitab Injil dalam Bahasa Malaysia seharusnya tidak ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Kata Sheikh Abdul Halim, Bahasa Malaysia sepatutnya tidak dipolitikkan atau dibahaskan termasuk penggunaannya dalam kitab Injil.

“Saya positif dalam perkara ini, bila ada dalam Bahasa Malaysia orang Islam boleh baca dan boleh buat perbandingan dengan al-Quran, bahasa inikan perantara jadi ia bukannya isu. Jadi kenapa mesti diperbesarkan.

Jelas beliau, penggunaan Bahasa Malaysia dalam kitab Injil tidak memberikan sebarang kesan terhadap agama Islam yang merupakan agama rasmi negara.

“Bukan ia (kitab Injil) itu boleh jejaskan Islam sebaliknya ia memudahkan penganut Kristian yang tak faham Bahasa Inggeris faham apa yang ada dalam buku itu.

“Jadi buat apa nak sekat, kalau ia ada beri kesan kepada Islam itu lainlah,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular